Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) meninjau lokasi pemasangan cat jalan “glow in the dark” yang pertama di Malaysia di Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat pada 15 November 2023. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hulu Langat dipilih projek perintis pantulan cahaya pada pembahagi jalan

SHAH ALAM, 17 NOV: Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat melaksanakan projek jalan yang dicat menggunakan teknologi ‘glow in the dark’ pertama di negara ini di Jalan Sungai Lalang (B19) di sini.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berkata, projek itu diilhamkan bagi membantu pemanduan yang lebih selamat di jalan raya pada waktu malam dengan bantuan pantulan cahaya pada pembahagi jalan.

Beliau berkata teknologi menghasilkan pantulan cahaya daripada lampu kenderaan itu adalah inovasi dalam kejuruteraan jalan.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau lokasi pemasangan cat jalan “glow in the dark” yang pertama di Malaysia di Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat pada 15 November 2023. Foto Facebook Sany Hamzan

“Dengan mengekalkan ciri pemantulan cahaya kuning dengan penggunaan High Intensity Prismatic Sheet, kaedah pencahayaan ditambah baik dengan ciri phosphorescence atau lebih dikenali sebagai teknologi ‘glow-in-the-dark’ yang mengandungi elemen pigmen phosphors bagi mengeluarkan cahaya yang boleh dilihat selepas diberi tenaga.

“Sumber tenaga adalah sama ada dari cahaya matahari atau lampu kenderaan yang diserap, sebelum ia bercahaya semula dan dapat dilihat pada waktu malam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sebelum itu pada Rabu beliau mengiringi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turun padang melawat lokasi berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) meninjau lokasi pemasangan cat jalan “glow in the dark” yang pertama di Malaysia di Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat pada 15 November 2023. Foto BERNAMA

Mohd Sany turut merakamkan ucapan terima kasih kerana memilih Hulu Langat sebagai lokasi perintis projek berkenaan.

Jalan yang dicat dengan teknologi itu akan mengeluarkan cahaya ketika kenderaan melalui kawasan gelap pada waktu malam.

Pantulan cahaya kelihatan pada pembahagi jalan yang menggunakan teknologi ‘glow in the dark’ di Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat pada 15 November 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kajang

Pada siang ia kelihatan normal dan teknologi itu membantu pengguna jalan raya yang tidak biasa memandu di jalan raya atau kawasan baharu.


Pengarang :