Mohd Hafiz Nordin tertarik saranan kerajaan untuk memperkukuh industri asas tani memilih untuk menceburi sektor perikanan dengan menternak ikan kolam. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ikon tani ternak 100 tan ikan keli, tilapia

KETIKA ramai sibuk mencari kerja di kilang, Mohd Hafiz Nordin yang memiliki diploma kejuruteraan elektronik memilih untuk menceburi sektor perikanan dengan menternak ikan kolam.

Meski bidang tersebut tidak popular, lepasan Universiti Teknologi Malaysia itu tertarik saranan kerajaan untuk memperkukuh industri asas tani yang menyediakan pelbagai insentif.

Justeru, beliau membina empat kolam kanvas di tanah seluas seekar di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 2007. Hanya 500 kilogram keli dan tilapia dihasilkan sebulan sepanjang tahun pertama.

Mohd Hafiz Nordin tertarik saranan kerajaan untuk memperkukuh industri asas tani memilih untuk menceburi sektor perikanan dengan menternak ikan kolam. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kini, beliau yang berusia 39 tahun memiliki 397 kolam dengan kapasiti pengeluaran lebih 100 tan sebulan melalui syarikatnya Berkat Agro Food Sdn Bhd (ARC) di Bestari Jaya, Rawang.

Oktober lalu, Hafiz terpilih seorang daripada empat pemenang edisi ketiga Ikon Agro Selangor. Beliau menerima wang tunai dan bantuan peralatan bernilai RM10,000 yang disampaikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim.

“Saya mula dengan kosong tetapi bantuan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Jabatan Perikanan, alhamdulillah saya sampai tahap sekarang,” katanya.

Pada mulanya, anak keempat daripada lima beradik itu membeli benih ikan menerusi iklan akhbar. Berbekal modal RM10,000, Hafiz membina kolam kanvas di tanah milik keluarganya. Hafiz kemudian mengikuti kursus anjuran PKPS dan Jabatan Perikanan Malaysia bagi menambah pengetahuan.

Ikuti bengkel

“Masa mula-mula, cuma belajar serba sedikit dengan pembekal benih dan kawan-kawan. Alhamdulillah hasil tahun pertama itu kira bolehlah hidup walaupun tak banyak.

“Setahun kemudian, saya ikuti banyak bengkel ternakan ikan. Di situ dapat bimbingan cara ternakan, benih ikan, usahawan, pemasaran dan jaringan kerja,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 2008, beliau menggunakan pinjaman Agrobank dan Majlis Amanah Rakyat untuk membina 26 kolam simen. Pengeluaran meningkat kepada dua hingga tiga tan sebulan.

Mohd Hafiz Nordin, 39

Bagi mengukuhkan modal, Hafiz membawa rakan kongsi baharu Hazarul Hafzam pada 2009. Beliau menyewa tanah pada 2010 bagi membuka kolam di Sungai Tengi, Sungai Lui dan Sungai Garing. Pengeluaran ikan naik kepada 10 hingga 15 tan sebulan.

Selepas 10 tahun, beliau memindahkan operasi ke Bestari Jaya, Kuala Selangor di tanah seluas 150 ekar, lengkap prasarana yang dipajak menerusi PKPS. Di situ, pembenihan dan ternakan ikan dibuat. Pusat jualan pula ditempatkan di Kampung Kubu Gajah.

Hafiz menggunakan teknologi bioflok supaya pengeluaran meningkat kepada 90 tan keli dan 10 tan tilapia setiap bulan. Kaedah itu memanfaat kewujudan mikroorganisma bagi menambah baik ekosistem air dan mempercepat kadar tumbesaran selain meningkatkan kualiti ikan.

Suhu air, tahap keasidan, kealkalian dan lain-lain dipantau menggunakan teknologi moden bagi memastikan kualiti ikan seterusnya memberi pulangan terbaik.

“Kos makanan tinggi, kami belanja RM400,000 untuk kira-kira 100 tan palet sebulan. Melalui teknologi bioflok, dapat jimat makanan sebab ia hasilkan makanan semula jadi,” katanya.

Ikan mati

Selain restoran dan kedai runcit, keli dan tilapia keluaran ARC mendapat permintaan luas apabila dipasarkan ke pasar borong, pasar basah, pusat jualan Ehsan PKPS dan pasar raya borong Sri Ternak.

Di sebalik rentetan kejayaan, bapa tiga anak itu tidak lepas berdepan cabaran khususnya perubahan cuaca mendadak. Fenomena itu boleh mengakibatkan benih ikan mati. Beliau pernah kerugian RM35,000 akibat benih ikan mati pada 2019.

Mohd Hafiz Nordin memiliki diploma kejuruteraan elektronik memilih untuk menceburi sektor perikanan dengan menternak ikan kolam. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Bila berlaku perubahan cuaca mendadak, kandungan oksigen terlarut dalam air menurun. Bila kita kurangkan pemberian makan, keperluan oksigen untuk ikan akan menurun supaya dapat elak benih mati.

“Pernah rugi dekat RM35,000 tetapi kami belajar dengan pengalaman dan tunjuk ajar PKPS dan Jabatan Perikanan,” katanya.

Dibantu lebih 50 pekerja, ARC turut menghasilkan kira-kira tujuh juta benih ikan sebulan untuk bekalan sendiri selain dijual kepada pengusaha ternakan ikan air tawar.

Sehingga kini, beliau ada 600 anak didik (mentee) di seluruh negara sama ada yang baharu atau telah lama berkecimpung dalam bidang ternakan ikan air tawar. Beliau juga membuka kelas bimbingan dengan usaha sama PKPS seliaan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

“Pasaran ikan air tawar cukup besar. Sebab itu, saya mampu bekalkan benih kepada pengusaha ternakan ikan air tawar ke seluruh negara.

Ladang ternakan Bestari Jaya juga selalu terima pelawat seperti Thailand dan Papua New Guinea selain pusat zakat beberapa negeri yang berminat menghantar asnaf belajar ternak ikan,” katanya.

Pada masa ini, Hafiz giat membangunkan pasaran produk hiliran antaranya ikan keli berempah, ikan tilapia berempah, sate ikan, keli salai dan bebola ikan.


Pengarang :