Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan susulan serangan zionis di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 13 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Israel bom sekolah tempat penduduk Palestin berlindung, ramai terbunuh

ISTANBUL, 21 NOV: Tentera Israel pada Selasa mengebom sebuah sekolah yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal ketika konflik di wilayah itu memasuki hari ke-46.

Menurut TV Palestin, serangan udara Israel menyasarkan sebuah sekolah di kawasan al-Faluja di kem pelarian Jabalia, menyebabkan beberapa ramai penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Dalam serangan itu, tentera penceroboh mengebom sembilan rumah di bandar Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza menyebabkan banyak kematian, lapor Agensi Anadolu.

Pihak berkuasa kesihatan masih belum mengumumkan angka penduduk yang terkorban dalam serangan udara Israel itu.

Sementara itu, Agensi Berita Palestin Wafa melaporkan perkhidmatan telekomunikasi di Bandaraya Gaza dan kawasan di utara Semenanjung Gaza terputus sepenuhnya susulan pengeboman tentera rejim ke atas menara telekomunikasi.

Sekurang-kurangnya 13,300 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,550 wanita dalam pengeboman tanpa henti Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt.

-BERNAMA-AGENSI ANADOLU


Pengarang :