Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usahasama Landasan Lumayan, Berjaya Land dibuat ikut tadbir urus betul

SHAH ALAM, 21 NOV: Usahasama syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Berjaya Land Sdn Bhd dibuat bagi melaksanakan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dibuat mengikut tadbir urus betul.

Dikenali sebagai Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB), Dato’ Menteri Besar berkata syarikat berkeperluan khas itu akan membangunkan Sungai Klang termasuk pembersihan dan pemuliharaan.

“LLSB menghantar cadangan Pengurusan Sungai Bersepadu kepada Kementerian Air dan Sumber Asli dan dijemput bersama Berjaya Land bagi membentangkan cadangan program pembersihan sampah.

“Berjaya Land kemudian menghantar surat kepada LLSB dan mencadangkan usahasama pembersihan dan pengindahan sungai dibuat melalui syarikat LLBSB,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd

Wakil rakyat Sungai Tua itu kemudian menjelaskan Berjaya Land atau syarikat berkaitannya tidak pernah diberikan tanah seluas 242.8 hektar bernilai RM10 bilion bagi pembangunan SMG.

Sebaliknya, beliau berkata beberapa bidang tanah sekitar 41 hingga 46 hektar diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada LLBSB setelah tanah tersebut didapati bersesuaian untuk pembangunan.

“Tidak benar kita menjual LLSB kerana syarikat itu masih 100 peratus bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI. Kita juga tidak pernah beri tanah percuma di sepanjang Sungai Klang.

“Maknanya, di sana mereka tetap bayar harga pasaran dan sehingga kini 46 hektar dikenal pasti dengan jumlah lebih RM100 juta perlu dibayar terhadap apa yang perlu dibangunkan,” katanya.

Berikut intipati penerangan mengenai SMG:

  • MBI tidak menjual 55 peratus sahamnya dalam anak syarikat miliknya kepada Berjaya Land
  • Syarikat bertujuan khas LLBSB dibentuk melalui usaha sama Landasan Lumayan (45 peratus), anak syarikat penuh MBI dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus)
  • Selain membersihkan dan membangunkan Sungai Klang, usaha sama itu juga untuk menyediakan projek
    perumahan mampu milik
  • Projek SMG mendapat pengiktirafan Green World Awards 2023 atas usahanya membersihkan Sungai Klang
  • Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak pernah mendapatkan atau diberikan tanah seluas 242.8 hektar bernilai RM10 bilion
  • Beberapa bidang tanah seluas 41 hektar diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada LLBSB setelah tanah tersebut didapati bersesuaian untuk pembangunan
  • Berjaya Land dikehendaki mengumpul dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar harga pasaran
  • Selangor tidak mengalami kerugian RM180 juta daripada tanah yang diberikan itu
  • Hanya 41 hektar tanah diluluskan untuk usaha sama tersebut dan akan menjelaskan premium tanah
    RM113.1 juta mengikut nilai pasaran semasa seperti ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan
    Harta

 

 


Pengarang :