Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim (dua, kiri) menyampaikan piala kepada pemain golf remaja Filipina Jacob Cajita yang memenangi kejuaraan acara individu lelaki ketika majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri Kedua di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kejohanan golf antarabangsa medan pemain muda timba pengalaman, bersaing sengit

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 6 NOV: Mutu persembahan pemain muda sepanjang tiga hari Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri Kedua sangat berkualiti dan membanggakan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Golf Services Management Sdn Bhd Zubir Idrus berkata seramai 96 pemain dalam dan luar negara bersaing sengit walaupun berdepan cuaca kurang baik pada sebelah petang.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Golf Management Services Sdn Bhd, Mohd Zubir Idrus bercakap kepada media selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri Kedua di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, secara keseluruhan kejohanan sangat berjaya dengan pemain negara memberikan saingan sengit kepada pasukan negara lain.

“Ini menunjukkan standard pemain muda Malaysia semakin baik dan mampu memberikan cabaran kepada pemain luar negara walaupun di mana mereka berada,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berkenaan di Kelab Golf Seri Selangor, di sini semalam.

Majlis penyampaian trofi disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim turut dihadiri Setiausaha Kehormat Persatuan Golf Malaysia (MGA) Dato’ Zulkifli Ismail, Presiden University Utara Malaysia International Secondary School Melaka (UUMISM) David Jeong.

Terdahulu, Zubir memaklumkan pihaknya mengalu-alukan penyertaan pelapis muda untuk menyertai kelab golf di bawah program pembangunan golf PKNS.

“Wujudnya PKNS Golf Services Management sebagai sebuah pusat bagi sukan Golf ini bukan sekadar menaikkan ekonomi Selangor namun pembangunan pelapis dan pemain muda turut disediakan sejajar dengan kehendak Kerajaan Negeri serta PKNS,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim (dua, kiri) menyampaikan piala kepada pemain golf remaja Korea Selatan yang memenangi kejuaraan acara kumpulan perempuan ketika majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri Kedua di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam kejohanan itu, pemain muda dari Filipina, Jacob Cajita meraih gelaran Johan bagi kategori lelaki individu manakala kategori individu wanita, diungguli pemain muda Korea Selatan Jung Min Seo.

Bagi kategori kumpulan lelaki, Filipina terus mengungguli gelaran juara kumpulan diikuti Korea Selatan B dan Malaysia.

Manakala kategori kumpulan perempuan, diungguli pasukan Korea Selatan B diikuti Thailand dan pasukan National Junior Development Program (NJPD) Malaysia.


Pengarang :