Pemilik Tinat Nursery Kamal Shafiee,41 dan isteri Hayatina Muhammad,41 memeriksa tanaman hiasan yang mereka jual di hadapan rumah mereka di Kg Sg Nibong Sekinchan pada 24 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Tanaman hiasan bawa rezeki, tukang kebun keluar asnaf

Kamal Shafiee tidak menyangka pokok keladi yang merimbun di rumahnya di Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan mengubah kehidupan keluarganya sama sekali.

Minat terhadap tumbuhan itu sedikit sebanyak membantu memajukan perniagaan tanaman hiasan yang dimulakan lelaki berusia 41 tahun itu sejak Mac 2020.

Apatah lagi, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa itu melonjakkan permintaan ramai. Ditambah pula, rakaman penanaman pokok keladi tular di media sosial.

Pemilik Tinat Nursery Kamal Shafiee, 41, dan isteri Hayatina Muhammad, 41, memeriksa tanaman hiasan yang mereka jual di hadapan rumah mereka di Kampung Sungai Nibong, Sekinchan pada 24 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bapa enam anak tidak lagi perlu meminta-minta beras jiran untuk makanan sekeluarga. Selama ini, bukan sekali dua mereka makan jemput-jemput kosong bagi mengalas perut.

Dengan jualan pokok keladi yang laris, ada kalanya mencecah RM1,000 sehari, Kamal keluar dari belenggu kemiskinan sekali gus beliau diisytihar bukan asnaf setahun kemudian.

Sebelum PKP, beliau runsing kerana tidak bekerja. Namun, kedatangan jiran yang membeli pokok keladi pada harga RM50 mencetuskan ilham. Beliau tekad menjadi pengusaha tanaman hiasan.

Hasil bantuan rakan, anak jati Rawang, Hulu Selangor itu memperoleh benih beberapa jenis pokok bunga untuk disemai. Maka lahirlah perniagaan Tinat Nurseri di halaman rumahnya.

Meski jualan perlahan pada bulan pertama, perniagaannya berkembang apabila ada pembekal meletak pelbagai tanaman hiasan termasuk keladi yang dijual antara RM15 hingga RM250 di rumahnya.

Beliau juga menjual dalam talian dan menawar perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan sekitar Sekinchan.

Keuntungan pula digunakan untuk mempelbagai jenis tanaman. Kurang setahun, jualannya meningkat sehingga ada waktunya mencecah RM1,000 sehari.

Pemilik Tinat Nursery Kamal Shafiee, 41, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Nibong, Sekinchan pada 24 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Masa itu pokok keladi tular. Ramai tanam sebagai hobi. Agaknya bosan sebab terperap lama dalam rumah,” katanya ketika ditemui Selangorkini pada 24 Oktober.

Selain pelbagai jenis keladi, pokok bunga kertas dan tanah kompos antara paling laris. Memang Kamal tahu serba-serbi tanaman lantaran bekerja sebagai tukang kebun sekolah sejak 2016.

Beras ihsan jiran

Sebelum memulakan perniagaan itu, Kamal hanya memperoleh RM900 sebulan. Beliau terpaksa membuat bermacam-macam kerja sambilan bagi menambah pendapatan. Menebas kebun, memotong rumput dan menanam pokok. Beliau juga mencari pucuk paku dan pelbagai sayur untuk dijual.

Isterinya Aatina Muhammad, 41, hanya suri rumah. Dapur tidak berasap lumrah buat keluarganya. Jika kehabisan tepung untuk masak jemput-jemput, beliau menebalkan muka meminta beras jiran.

Pemilik Tinat Nursery Hayatina Muhammad, 41, menyiram pokok hiasan di nurseri miliknya di Kampung Sungai Nibong, Sekinchan pada 24 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mujurlah kepayahan Kamal sekeluarga mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS). Sejak 2017, badan itu membantu membayar sewa rumah, biaya persekolahan dan persiapan raya.

Berikutan perniagaan mendapat sambutan, beliau mendapat bantuan RM3,000 daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) pada 2020 dan 2021. Anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor itu menguruskan pembangunan dan latihan keusahawanan kepada asnaf seliaan LZS seperti Kamal.

Sebanyak RM10,000 daripada keuntungan dan bantuan itu digunakannya untuk mengubah suai tapak niaga selain membeli peralatan, membina pangkin besi bertingkat dan jaring pelindung matahari.

Namun, Kamal tidak terkecuali berdepan cabaran. Beliau pernah rugi RM3,000 apabila hampir 1,000 anak pokok bunga kertas, kaktus, petunia, kemboja cina yang ditanam dalam polibeg mati akibat hujan berterusan pada musim tengkujuh.

Beliau juga kerugian hampir RM2,000 apabila pelanggan membatal tempahan anak pokok kelapa spesies tacunan yang berasal dari Thailand. Semua itu dihadapi dengan penuh kesabaran.

Kehidupannya kini jauh lebih baik berbanding sebelum berniaga. Kini, Kamal mampu menyara keluarga walau jualan tidak serancak seperti tempoh PKP. Dia masih berupaya meraih kira-kira RM200 sehari dan RM500 pada hujung minggu.

 


Pengarang :