Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (enam kanan) bersama kesemua penaja Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2023 di Kelab Golf Seri Selangor pada 7 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Kejohanan Golf Selangor Masters berlangsung esok, 144 pemain sertai

PETALING JAYA, 7 NOV: Seramai 144 peserta termasuk pemain golf terbaik negara, Gavin Green menyertai Kejohanan Golf Selangor Masters 2023 bermula esok hingga 11 November di Kelab Golf Seri Selangor, dekat sini.

Kejohanan melibatkan gabungan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Jelajah Toyata mendapat tajaan utama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$175,000 (RM818,912).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejohanan itu bukan hanya menjadi platform menggilap bakat sukan padang berkenaan sebaliknya turut memberi kesan positif kepada ekosistem ekonomi.

“Penganjuran ini menyokong industri pelancongan serta meningkatkan peluang perniagaan termasuk sektor makanan dan minuman

“Dalam masa sama kita kenalkan PKNS pebagai pembangun perumahan dan perbandaran yang mampu mengurus kejohanan golf pada peringkat yang tinggi,” katanya pada sidang media kejohanan berkenaan.

Beliau berkata peserta terlibat merupakan pemain profesional yang berkelayakan antaranya Deyen Lawson (Australia) dan pemain muda antarabangsa Wang Yixiang (China) serta Kartik Singh (India).

“Penganjuran ini merupakan peluang terbaik untuk Selangor menjadi pilihan nombor satu bukan hanya di Malaysia tetapi juga Asia Tenggara,” katanya.

Selain PKNS menaja RM2 juta, kejohanan berkenaan turut mendapat tajaan anak syarikat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI (RM500,000), Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM150,000), Selgate (pasukan perubatan) selain Kerajaan Negeri menyumbang RM100,000.


Pengarang :