Peserta bergambar bersama selepas menerima sijil penyertaan ketika majlis penutup Strategi Super TikTok 2023 di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kelas digital TikTok bantu usahawan cipta kandungan berkualiti, tambah pendapatan

PETALING JAYA, 30 NOV: Penganjuran kelas strategi super TikTok anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membantu usahawan mencipta kandungan lebih berkualiti di platform tersebut.

Pengedar produk kesihatan Jamu Kak Lis, Noor Diana Zainal,32, berkata sebelum ini beliau ada menghasilkan kandungan di TikTok tetapi tidak terperinci.

“Apabila mengikuti kelas ini, ilmu yang diperoleh sangat bagus dan dapat menambah pengetahuan terutama dalam aspek pemasaran.

Noor Diana Zainal, 32, bercakap kepada Media Selangor ketika majlis penutup Strategi Super TikTok 2023 di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Perniagaan sekarang lebih kepada digital, penting kepada saya mempelajari cara-cara menghasilkan kandungan bagus melalui kaedah-kaedah yang membantu menaikkan pendapatan,” katanya ditemui pada program tersebut di Hotel TH di sini hari ini.

Sementara itu, P.Kathiraven,24, berkata menerusi kelas tersebut beliau mempelajari bagaimana cara-cara membangunkan perniagaan dan berkomunikasi dengan pelanggan.

“Sebelum ini, saya ingat perniagaan melalui TikTok mudah dan senang tetapi banyak lagi yang perlu diterokai khususnya untuk supaya lebih maju.

“Buat masa ini, saya belum mempunyai perniagaan tetapi bercadang untuk membuka perniagaan dalam masa terdekat berkaitan kejuruteraan,” katanya.

Terdahulu, seramai 68 usahawan Hijrah termasuk mengikuti program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) hadir ke kelas strategi TikTok anjuran Hijrah selama dua hari bermula Selasa lalu.

 


Pengarang :