Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) disediakan Rapid Rail di sekitar Kuala Lumpur. Foto Facebook Rapid KL
AGENDANASIONAL

Tiada letupan, kebakaran libatkan tren MRT laluan Kajang

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Rapid KL menafikan berlakunya letupan atau kebakaran melibatkan sebuah tren Transit Aliran Massa (MRT), laluan Kajang petang semalam seperti yang tular menerusi media sosial.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, sebaliknya kejadian itu hanyalah bunyi percikan api berpunca daripada sebuah tren bernombor 28 yang sebelum itu dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Taman Mutiara kerana menyebabkan ‘alarm’ atau amaran kepada sistem bekalan kuasa trek MRT di stesen berhampiran.

“Insiden menyebabkan atau menghasilkan ‘bunyi spark’ (bunyi percikan api) seperti yang dilaporkan. Bagaimanapun tiada sebarang letupan atau kebakaran.

“Atas faktor keselamatan, tren tersebut telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan penumpang telah diminta untuk menaiki tren berikutnya yang tiba di Taman Mutiara. Tren terbabit kemudian dibawa ke depoh selepas tamat waktu operasi bagi pemeriksaan terperinci,” menurut kenyataan itu.

Pada waktu kejadian, pegawai transit yang berada di dalam tren sentiasa memantau keadaan bagi memastikan tiada sebarang gangguan terhadap jadual perjalanan perkhidmatan tren MRT Laluan Kajang.

Terdahulu tular menerusi media sosial perkongsian pengguna MRT terbabit yang mendakwa berlaku letupan di tren terbabit sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

– BERNAMA


Pengarang :