Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu ketika sesi pertanyaan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan rangka pelan tindakan lindungi hak, kebajikan kanak-kanak

SHAH ALAM, 23 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang membangunkan pelan tindakan bagi melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak.

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata inisiatif itu dibuat susulan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak dalam Dunia Siber yang telah tamat pada 2020.

“Kementerian sedang membangunkan satu pelan tindakan kanak-kanak baharu. Ia berteraskan kepada Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Sepanjang pembangunan dasar ini, sebanyak empat sesi libat urus telah diadakan melibatkan penyertaan aktif pelbagai agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkenaan agensi khusus yang menjaga pembangunan, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di Dewan Rakyat hari ini.

Aiman Athirah menambah, kerajaan telah meluluskan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkuat kuasa mulai 1 September lalu.

Jelasnya, penubuhan itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam memastikan perkhidmatan menyeluruh dan profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak.

“Pengoperasian JPKK ini akan dilaksanakan secara berfasa. Di fasa awal ini, pengoperasian JPKK akan diletakkan bawah seliaan JKM mulai 2023 sehingga 2025,” katanya.

Negara meraikan sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 pada Isnin lalu di Johor Bahru, Johor yang bertemakan ‘Hak Kami, Masa Depan Kami’.


Pengarang :