Purata gaji di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 5.1 peratus pada 2024, menurut Kajian Jumlah Saraan 2023 Mercer pada 20 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan sedia tambah kadar STR jika subsidi bersasar beri bebanan

PUTRAJAYA, 26 NOV: Kerajaan sedia menambah kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar akan datang memberi kesan kepada rakyat, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu diberikan berikutan kerajaan mahu memastikan jaringan keselamatan khususnya kepada golongan rentan dan miskin.

“Tidak ada kadar tambahan (kenaikan kos) rakyat, tapi tidak untuk 10 peratus yang (berpendapatan) teratas. Maknanya kita dapat menyelamatkan hampir RM4 bilion daripada penyasaran subsidi ini.

“Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan mengesankan kepada rakyat berpendapatan rendah, kita akan tambah STR supaya mereka dapat tampung kerugian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, malam tadi.

Presiden KEADILAN itu menjelaskan langkah subsidi pukal sudah tidak lagi relevan dan kerajaan terpaksa menanggung kos yang membengkak saban tahun.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menjangkakan jumlah subsidi pada tahun ini mampu menjangkau sehingga RM81 bilion jika perkara ini tidak ditangani segera.

“Subsidi kepenggunaan pada 2022 saja berjumlah RM77.3 bilion yang meliputi subsidi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik, lantas menjadikan ia jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah.

“Kalau tidak tangani, tiada tekad politik untuk selesaikan, kita akan berdepan dengan isu serius. Subsidi itu seperti sedekah, ya kita sedekah kepada maha kaya,” katanya.

Bulan lalu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kadar maksimum STR akan dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini.

Anwar berkata peruntukan STR yang memanfaatkan 9 juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara ini meningkat sebanyak RM2 bilion bersamaan 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.


Pengarang :