BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kontroversi ‘dari sungai ke laut’, penyokong Palestin kena tindakan

Oleh FATHI ARIS OMAR

Pada 30 Oktober, seorang ahli parlimen Parti Buruh dikenakan tindakan penggantungan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur anti-Israel: “dari sungai ke laut”.

Andy McDonald menyebut ungkapan tersebut dalam demonstrasi pro-Palestin dua hari ini sebelumnya, kira-kira tiga minggu selepas Harakat Muqawamah Islam (Hamas) melancarkan serangan.

Wakil rakyat United Kingdom itu bagaimanapun menafikan tuduhan bersikap anti-Yahudi (antisemitic).

Kenapa istilah ini dianggap kontroversi di beberapa negara Barat?

Kenyataan lengkapnya: “Kita tidak akan berhenti sehingga dapat keadilan. Hingga semua orang, rakyat Israel dan juga Palestin, antara sungai ke laut, boleh hidup bebas dan aman.”

Bukan beliau sahaja berdepan masalah ini. Ungkapan “dari sungai ke laut”, atau from the river to the sea, dianggap slogan untuk menghapuskan negara Israel. Banyak pihak yang pronegara itu menganggapnya tidak sesuai.

“Dari sungai ke laut” sering diletakkan di sepanduk pro-Palestin dan dilaungkan dalam demonstrasi. Foto (atas) menunjukkan anak muda berarak di Chicago, Amerika Syarikat pada 8 Oktober, hari serangan balas Israel di Gaza.

Persatuan bola sepak di United Kingdom juga melarang pemain menaikkan slogan ini di media sosial masing-masing. Hamza Choudhury, pemain Leicester, terpaksa memadam ungkapan tersebut.

Lebih awal lagi, polis Austria mengharamkan slogan ini dalam tunjuk perasaan pada 11 Oktober tetapi dilaporkan menarik semula larangan tersebut seminggu kemudian.

“Menurut undang-undang sekarang, ayat ‘dari sungai ke laut, Palestin pasti merdeka’ bukanlah ungkapan kebencian,” kata polis pada 17 Oktober.

Slogan ini merujuk sungai Jordan yang terletak sempadan timur wilayah asal Palestin, dari utara tasik Tabaria hingga Laut Mati, hingga Laut Tengah (Mediterranean) di sebelah barat, kawasan yang kini dikuasai Israel.

Kebebasan bersuara

Jerman lebih dahulu mengeluarkan larangan penggunaan slogan ini, malah sebelum konflik terbaharu di Gaza yang mengorbankan, setakat 7 November, 10,328 orang Palestin termasuk 4,237 kanak-kanak dan 2,719 wanita.

Dalam tempoh 31 hari, menurut Al Jazeera, 25,965 lagi termasuk 8,067 kanak-kanak dan 5,960 wanita cedera di semenanjung itu sahaja. Sementara sekurang-kurangnya 1,405 terbunuh dan 5,600 cedera di Israel.

Namun di Belanda, pada 15 Ogos, sebuah mahkamah membuat penghakiman “dari sungai ke laut, Palestin pasti merdeka” sebahagian kebebasan bersuara dan tidak melanggar undang-undang.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan seorang aktivis Zionis terhadap Thomas Hofland, penggerak Jaringan Solidariti Tahanan Palestin (Samidoun), pada Jun 2021.

Satu demonstrasi kecil jaringan ini disuraikan oleh polis Jerman dan enam aktivisnya ditangkap pada 29 September** dengan alasan mereka menggunakan slogan pro-Palestin tersebut. Jerman mengharamkan Samidoun dan kegiatan Hamas pada 2 November.

Rashida Tlaib, peguam dan ahli kongres Demokrat dari Michigan, juga dikecam kerana mempertahankan slogan itu dalam bantahannya di X (dahulu Twitter) terhadap Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyokong Israel.

“Dari sungai ke laut seruan yang membawa maksud kebebasan, hak asasi dan kehidupan bersama (Yahudi), bukannya kematian, kemusnahan atau kebencian,” kata wanita berdarah Palestin itu pada 4 November**.

Bersama kenyataannya, Rashida menaikkan video ringkas siri demonstrasi di negara tersebut, antaranya, memuatkan laungan “dari sungai ke laut” dan “bebas, bebas, bebaskan Palestin”.

Pada 7 November, ahli politik tiga penggal ini dikenakan tindakan Dewan Perwakilan dengan 234 undi menyokong dan 188 menentang usul terhadapnya. Namun wanita itu bertekad tidak akan berdiam diri.

Dua puluh dua wakil rakyat daripada partinya sendiri turut menentang Rashida. Sementara empat wakil Republikan berdiri di belakangnya. Tindakan ini hanya satu langkah sebelum dipecat daripada dewan tersebut.

Walau slogan tersebut sudah lama, dan kontroversi yang dicetuskan kumpulan pro-Israel bermula sebelum ini lagi, tetapi konflik kali ini membuka lebih luas perdebatan isu berkenaan.

Namun, asal-usul slogan ini sukar dijelas dengan tepat. Portal televisyen Al Jazeera menyebut ia digerakkan sejak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menolak bulat-bulat negara Israel pada 1960-an.

Ketuanan Yahudi

Middle East Eye pula menyebut slogan tradisi pejuang Palestin sudah bermula sejak 1940-an lagi, menjelang dan selepas Israel mengisytihar kemerdekaan pada 14 Mei 1948 yang digelar Nakbah, atau malapetaka besar, dalam kalangan orang Arab.

Ketika menjawab Rashida, seorang penyokong Israel dari Australia menuduh ahli politik itu berbohong. Beliau menyebut ungkapan lain yang dikatakan sejarah awal slogan ini dengan maksud penghapusan Yahudi.

“Laungan ‘dari sungai ke laut’ terjemahan slogan asal ‘dari air ke air, Palestin kekal Arab’,” kata Mohammad Tawhidi yang menggelar dirinya “pemimpin perdamaian”.

Namun, pandangan Tawhidi ini sukar disahkan. Carian di Google tidak menunjukkan banyak bahan bertulis dalam bahasa Inggeris tentang dakwaannya itu.

Bercakap kepada Al Jazeera, seorang pensyarah undang-undang Pusat Kajian Timur dan Afrika (SOAS), London menafikan slogan tersebut bermaksud menyingkirkan orang Yahudi.

Nimer Sultany menjelaskan ungkapan dari sungai ke laut menekankan pentingnya kesetaraan dalam kalangan semua warga wilayah asal Palestin, yang kini terbelah tiga sebagai Tebing Barat, Israel dan Gaza.

Namun, tambahnya, “mereka yang menyokong apartheid (dasar pemisahan kaum) dan ketuanan Yahudi pasti mendapati laungan sama rata (Palestin) itu tidak sesuai.”

“Perlu diingatkan laungan ini (from the river to the sea) dalam bahasa Inggeris dan ia tidak berirama dengan bahasa Arab, ia digunakan ketika tunjuk perasaan di negara Barat,” kata Nimer lagi.

“Kontroversi ini sengaja direka-reka bagi menyekat solidariti orang di Barat dengan warga Palestin.”

David McDonald, ketua Jabatan Cerita Rakyat dan Kajian Muzik Etnik di Universiti Indiana, Amerika Syarikat menjelaskan slogan ini cukup popular, dimasukkan dalam lirik lagu dan puisi.

Cukup lama menyelidik muzik dan sastera Palestin, profesor madya itu menambah “dalam kalangan aktivis Palestin — dan tempoh 20 tahun saya bekerja dengan mereka — ungkapan ini tidak pernah bermaksud memusnahkan Israel.”

Namun, bukan orang pro-Palestin sahaja melaungkannya. Pada 1977, parti Likud yang dianggotai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pernah menegaskan pendirian yang sama.

Manifesto asal parti aliran kanan ini, yang diasaskan pada 1973 oleh tokoh militan Zionis Menachem Begin, menyatakan “di antara laut (Mediterranean) hingga (sempadan) Jordan terletaknya kedaulatan Israel.”

Nota: Tulisan ini dikemaskini daripada rencana asal Debat ‘Sungai ke Laut’ (akhbar Selangorkini, edisi 9-15 November 2023). Perkataan yang bertanda ** adalah pembetulan tarikh.


Pengarang :