Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Lebih 100 serangan udara dilancar Israel dalam tempoh sejam, ramai cedera, terbunuh

GAZA CITY, 6 NOV: Tentera Israel melancarkan lebih 100 serangan udara ke atas Gaza City dalam tempoh kurang sejam pada Ahad, membunuh dan mencederakan ramai penduduk Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Serangan ganas itu menyasarkan pelbagai kawasan di bandar itu, serentak dengan gangguan komunikasi dan Internet.

Pengeboman itu turut memusnahkan sebuah blok kediaman di kem pelarian Al-Shati menyebabkan ramai penduduk terbunuh.

Serangan yang menyasarkan kawasan di barat laut, tengah dan barat daya Gaza City itu tidak pernah berlaku sebelum ini sejak konflik terbaru tercetus.

Ambulans juga tidak dapat memasuki kawasan yang diserang.

Serangan bom itu menyasarkan kawasan berdekatan dengan Kompleks Perubatan Al-Shifa, hospital terbesar di Semenanjung Gaza, serta kawasan kediaman, jalan raya, kawasan pelabuhan bandar dan pelbagai kawasan dari barat laut hingga barat daya Gaza.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin serta Syarikat Telekomunikasi Palestin, Paltel dilaporkan berkata Israel memutuskan semua jenis perkhidmatan komunikasi dari Semenanjung Gaza, kejadian ketiga dalam tempoh kira-kira 10 hari.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :