Salah sebuah sekolah untuk masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Tohoi dan Pos Pulat di Gua Musang, Kelantan Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 20 keluarga Orang Asli terputus hubungan akibat tanah runtuh

GUA MUSANG, 26 NOV: Lebih 20 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar membabitkan penduduk empat kampung di Pos Hendrop di sini terputus hubungan akibat tanah runtuh di laluan utama ke perkampungan mereka.

Yusof Angah, 42, berkata dia menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan menghantar dua anaknya dari rumahnya di Kampung Hanir ke Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop kira-kira 6.45 pagi tadi.

Kejadian itu, katanya berlaku di pertengahan laluan keluar masuk ke perkampungan terbabit.

“Lokasi kejadian jauh dari kampung, jadi kami tidak mendengar apa-apa bunyi bising malam tadi. Saya terpaksa berpatah balik ke rumah kerana jalan tidak dapat dilalui sepenuhnya oleh kenderaan termasuk motosikal.

“Saya turut memaklumkan kejadian itu kepada penduduk Kampung Hanir, Kampung Gere, Kampung Perlug dan Kampung Tuel semasa perjalanan pulang sebagai langkah mereka berjaga-jaga,” katanya yang dihubungi hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Pinang, 48, yang turut melalui laluan itu bersyukur kerana kejadian berkenaan tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

“Tidak dapat dibayangkan jika tanah itu runtuh di atas jalan ketika kami sedang melaluinya bersama anak-anak untuk ke sekolah,” katanya.

Penghulu Kampung Hanir Razak Rongging, 41, memaklumkan hujan berterusan sejak seminggu lepas dipercayai antara faktor kejadian itu, justeru beliau berharap pihak berwajib mengambil tindakan membaik pulih segera.

Menurutnya susulan kejadian, kira-kira 500 penduduk terjejas untuk melakukan aktiviti seharian manakala penjaja tidak dapat masuk ke penempatan mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan ketika dihubungi berkata kejadian seumpama itu biasanya berlaku disebabkan cerun bukit merupakan laluan air.

“Kita menasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati menggunakan jalan itu untuk melakukan urusan harian mereka terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :