Antara peserta berbasikal yang memeriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bersempena Bulan Kitar Semula yang di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 19 November 2023, Foto MBSA
PBTSELANGOR

Lebih 2,000 meriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 NOV: Lebih 2,000 peserta memeriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bersempena Bulan Kitar Semula yang di Dataran Kemerdekaan MBSA di sini hari ini.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya pertandingan kitar semula yang diadakan sejak 1 Jun hingga 31 Oktober melibatkan peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Selain itu, pertandingan peragaan fesyen kitar semula, ‘fun ride, fun walk’, kayuhan santai, senamrobik, memanah dan persembahan kombo MBSA.

Kanak-kanak pula dihiburkan dengan aktiviti mewarna, klinik silat, ‘parrot brothers’, ‘wall climbing’, ‘inflatable playground’ dan perpustakaan bergerak @ aktiviti kraf Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA.

Antara pengunjung yang memeriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bersempena Bulan Kitar Semula yang di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 19 November 2023, Foto MBSA

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata pihaknya bekerjasama dengan Fraser & Neave Holdings Bhd dan Tetrapak Malaysia yang turut menyumbang wang tunai RM22,700 bagi menjayakan program itu.

“Program ini juga bertujuan mendidik masyarakat daripada awal lagi terutama pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula supaya mereka boleh menjadikan amalan ini sehingga masuki alam dewasa kelak,” katanya.

Cheremi menambah program turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tandas Bersih Shah Alam 2023 melibatkan tandas awam di restoran, stesen minyak, pusat membeli belah, rumah ibadat, sekolah menengah dan sekolah rendah.

Sekitar penyampaian Anugerah Tandas Bersih Shah Alam 2023 pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bersempena Bulan Kitar Semula yang di Dataran Kemerdekaan MBSA pada 19 November 2023, Foto MBSA

“Pertandingan ini diadakan sempena sambutan Hari Tandas Sedunia pada 19 November setiap tahun. Ia juga merupakan inisiatif MBSA untuk mewujudkan tandas awam berstatus bersih, wangi, menawan dan bertaraf lima bintang.

“Kita berharap pertandingan ini dapat menggalakkan usaha ke arah menyediakan tandas awam bersih kepada pengguna khususnya pelancong yang berkunjung ke bandar raya Shah Alam,” katanya.


Pengarang :