Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Taman Nirwana, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 400 hadir jualan murah DUN Pandan Indah, bekalan beras, ayam habis kurang dua jam

AMPANG JAYA, 26 NOV: Hampir semua barangan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang berlangsung di padang permainan Jalan Nirwana 10 di sini habis dijual dalam tempoh kurang dua jam.

Penyelaras program Muhammad Syahmi Asymawi berkata ayam, telur dan beras antara barangan yang menjadi tumpuan lebih 400 pengunjung hari ini.

“Sambutan di luar jangkaan, pengunjung mula beratur seawal 7 pagi. 72 botol minyak masak, 150 pek daging dan 150 pek ikan jenis kembung, sardin, cencaru dan kerapu dijangka akan habis terjual,” katanya kepada Selangorkini.

Penyelaras Jualan Ehsan Rahmah (JER) Muhammad Syahmi Asymawi

Sementara itu, warga emas Mohd Esahar Abd Kahar, 72, berpandangan program jualan murah mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Rakyat beruntung kerana program jualan murah ini hanya terdapat di negeri Selangor. Saya harap program ini diperluaskan memandangkan negeri mempunyai penduduk ramai untuk memberi keselesaan kepada golongan kurang mampu,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Nura Aisyah Ruslan, 29, berkata jualan murah menjadi pilihan utama untuk mendapatkan keperluan asas makanan pada harga berpatutan.

“Saya jimat 30 peratus perbelanjaan mingguan banding beli di luar. Bekalan asas yang saya beli beras, ayam, telur, daging dan ikan menampung seminggu bekalan untuk lapan orang isi rumah,” katanya.

Manakala Jamaliah Saidin, 53, berkata jualan murah menjimatkan 50 peratus perbelanjaan untuk mendapatkan bekalan barangan asas dalam tempoh seminggu.

Mohd Esahar Abd Kahar, 72,

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :