Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim mempengerusikan mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 22 November 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
PBTSELANGOR

Lembah Klang Raya bantu lancar pentadbiran PBT, optimum sumber kerajaan

SUBANG JAYA, 22 NOV: Pembangunan Lembah Klang Raya membabitkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini mampu membantu kelancaran pentadbiran demi kepentingan penduduk dan komuniti perniagaan.

Datuk Bandar Subang Jaya berkata penyatuan pentadbiran Subang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang tahun depan melalui Enakmen Lembah Klang Raya juga dapat menyeragam proses pelesenan.

Jelas Mohd Fauzi Mohd Yatim, pendekatan itu turut mempercepat transisi penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam selain mengoptimum sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan.

“Pentadbiran yang cekap bagi keempat-empat PBT ini perlu kerana 50 peratus penduduk Selangor menetap di kawasan ini serta menempatkan kebanyakan industri,” katanya pada mesyuarat penuh MBSJ Bil 11/2023 di sini hari ini.

Belanjawan Selangor 2024 dibentang Dato’ Menteri Besar baru-baru ini memperuntuk RM2 juta bagi mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya meliputi empat bandar raya melalui penggubalan Enakmen Lembah Klang Raya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem itu dibuat mengambil kira bandar raya terbabit memiliki pelbagai industri utama selain berdepan cabaran seperti isu pengangkutan awam, pegangan tanah dan hal kebajikan masyarakat.

Sementara itu, Mohd Fauzi menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dijangka suku ketiga tahun depan yang memberi ruang kepada kakitangan untuk bertukar ke PBT lain di Selangor.

“Kita lihat daripada sudut perjawatan. Ketika ini PBT merupakan perkhidmatan tertutup (close service), jadi apabila ada suruhanjaya ini, PBT ke arah mobiliti dengan penjawat awam boleh dipindahkan ke PBT lain.

“MBSJ sambut baik inisiatif ini kerana secara tidak langsung dapat menggalakkan semangat bekerja selain memberi rangsangan baharu dan meningkatkan keyakinan kakitangan,” katanya lagi.


Pengarang :