Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 7 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia tetap pendirian sokong Hamas, tidak iktiraf keputusan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Malaysia tidak mengiktiraf keputusan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan secara unilateral terhadap individu, agensi atau negara lain yang memberi sokongan kepada Hamas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebaliknya pendirian Malaysia hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersifat multilateral.

“Pertamanya, kita tidak bersetuju dengan cara yang dibuat Amerika Syarikat dan keduanya, ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung tindakan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata beliau telah menghubungi beberapa negara sahabat dan negara Islam yang turut memberi pandangan sama dengan Malaysia untuk tidak mengiktiraf perkara itu.

Anwar berkata Mahdi Akif yang turut mendengar ucaptama itu, mengucapkan tahniah atas pendirian tegas yang disampaikan Anwar dalam menyentuh isu berkaitan kezaliman, hak kepada rakyat dan Palestin.

“Jadi bayangkan.. berbeza dengan sesetengah pendapat kita, betul saya hadir (persidangan itu)… kita juga hadir di United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan di PBB, Israel merupakan anggota yang diiktiraf.

“Namun kita hadir sebagai anggota (PBB) tidak bermakna kita ada kena-mengena dengan Israel. Kita tidak ada hubungan dengan Israel,” kata Perdana Menteri.

Mengenai pendirian Liberal International menyokong Israel, Anwar berkata PKR telah memutuskan hubungan dengan pertubuhan itu dan perkara berkenaan telah dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

“Oleh yang demikian kita putus hubungan, dan ini dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital selaku Ketua Penerangan (PKR).

“Kalau ditanya…dalam hubungan dengan beberapa badan antarabangsa yang saya pernah hadir… saya hadir, saya sebagai pengerusi, tetapi ada had dia. Bila timbul masalah pengiktirafan Israel, maka saya kata (itu) batas kita, tetapi rundingan dalam kesemua isu lain, saya teruskan umpamanya dalam ASEAN,” katanya.

Pada Jumaat, Fahmi memaklumkan PKR tidak pernah menjadi ahli kepada sebuah pertubuhan antarabangsa Liberal International susulan terdapat dakwaan yang mengaitkan parti berkenaan dengan pertubuhan antarabangsa itu.

Memetik contoh hubungan antara negara ASEAN, Anwar berkata pendirian setiap negara mengenai perjuangan menyokong Palestin adalah berbeza namun negara-negara ahli ASEAN mempunyai hubungan baik.

“Pendirian negara berbeza, Filipina lebih cenderung bersetuju dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) walaupun tidak sekeras itu, tetapi kita dalam hubungan dua hala masih baik dengan Filipina. Dalam soal Palestin ini, hanya Malaysia, Indonesia dan Brunei nampak betul-betul kuat sepakat.

“Yang lainnya kita ada hubungan dan kita minta seperti mana saya berjumpa dengan Perdana Menteri Thailand yang baharu Srettha Thavisin, saya minta kalau boleh jangan terlalu kuat dengan pendirian pro-AS dalam Palestin kerana ini akan menyinggung dan menimbulkan keresahan dalam sebahagian masyarakat Thailand dan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :