SHAH ALAM, 19 NOV: Kumpulan Mayang mewakili Gombak dan Petaling menjuarai pertandingan Asli Battle of The Bands (ABOTB) selepas menewaskan tujuh pesaing sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500.
Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri menobatkan Mask Band (Gombak dan Petaling) sebagai naib juara manakala Zangkud (Hulu Langat dan Sepang) di tempat ketiga, masing- masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000.
Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini malam tadi. Hadir sama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah.
Amirudin dalam ucapannya berkata ABOTB menjadi bukti golongan minoriti itu tidak dipinggirkan dan menerima bantuan sama rata dengan kaum lain.
“Pertandingan ini untuk kita ketengahkan bakat dan persembahan berkualiti dalam kalangan anak Orang Asli. Sebagaimana janji kita, tak ada siapa pun akan tersisih dan akan terima pembelaan.
“Majlis malam ini sebagai tanda penghargaan kepada Orang Asli. Kita harap dapat cungkil bakat dan kumpulan ini akan mengharumkan nama Selangor serta negara pada masa depan,” katanya.
ABOTB diperkenalkan tahun ini bagi mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan Orang Asli sebelum diketengahkan ke dalam industri seni.
Sebanyak 25 kumpulan muzik melibatkan kira-kira 125 Orang Asli bersaingan menerusi 74 sesi jelajah saringan yang dianjur di semua perkampungan tradisi Asli.