Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan ijazah Doktor Falsafah pelbagai bidang dan sarjana kepakaran perubatan kepada 125 graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam pada 18 Nov 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri seru semua IPT laksana program asah bakat, sahsiah graduan

SHAH ALAM, 19 NOV: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPT) menyediakan program pembangunan bakat dan membentuk sahsiah graduan dengan dunia sebenar.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bertitah faktor berkenaan perlu memandangkan ia merupakan elemen penting dalam membantu peningkatan ekonomi negara.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam pada 18 Nov 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Universiti perlu menjadi kepercayaan kepada pelajar untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka kepada komuniti.

“Oleh itu juga Baginda mahu agar sistem pendidikan negara mempunyai keupayaan menghasilkan modal insan berkualiti serta berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri,” menurut kenyataan Facebook Selangor Royale Office.

Titah itu disampaikan Tengku Permaisuri Norashikin ketika berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, semalam.

Menurut Selangor Royal Office, Baginda juga berbesar hati dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan Pembelajaran Perkhidmatan Malaysia-Universiti untuk Masyarakat (SULAM) bagi mengembangkan idea pelajar kepada komuniti.

Dalam majlis berkenaan, Tengku Permaisuri Selangor yang merupakan Pro-Canselor UiTM berkenan menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah pelbagai bidang dan sarjana kepakaran perubatan kepada 125 graduan.

 


Pengarang :