Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Air Selangor terima penarafan terbaik, perluas air percuma hasil keuntungan sendiri

SHAH ALAM, 21 NOV: Kedudukan kewangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerima penarafan terbaik RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) dalam program Sukuk Murabahah Air Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedudukan kewangan yang stabil membolehkan agensi air itu menggandakan kerja penggantian paip kepada 300 kilometer (km) mulai tahun hadapan.

“Saya harus menjelaskan secara faktanya keadaan kewangan Air Selangor menerima pengiktirafan AAA yang stabil berdasarkan RAM Ratings ke atas program Sukuk Murabahah Air Selangor.

“Kedudukan kewangan yang stabil membolehkan Air Selangor menggandakan kerja-kerja penggantian paip dari 150km sebelum ini kepada 300km bermula tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Air Selangor dijangka mampu menjana keuntungan sendiri menjelang 2029 dengan anggaran keuntungan RM200 juta.

Menurutnya, pada ketika itu Kerajaan Negeri menjangkakan dapat mengembalikan program air percuma kepada rakyat seperti yang pernah dilaksana sebelum ini.

“Berdasarkan pelan perniagaan yang kita hantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kita jangka mampu jana keuntungan sendiri menjelang 2029 dengan anggaran RM200 juta.

“Pada ketika itu, adalah wajar untuk kita perluaskan program pemberian air percuma kepada rakyat sebagaimana yang kita lakukan sebelum ini dan lakukan penjajaran bagi memastikan kelestarian syarikat,” katanya.

Pada 2019, Kerajaan Selangor memperkenal Skim Air Darul Ehsan (SADE) iaitu pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada kumpulan sasar di negeri ini.

Program penjajaran semula itu menumpukan golongan pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 ke bawah dan manfaat tersebut kini dinikmati hampir 4 juta pengguna.

Sebahagian wakil komuniti menyertai Taklimat Skim Air Darul Ehsan bersama wakil komuniti setempat di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pengarang :