Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan baucar kepada penerima ketika majlis perasmian Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Penyerahan E-Baucar Buku Kepada Mahasiswa Selangor 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lima tawaran dilunas 76 hari bukti komitmen Kerajaan Perpaduan Selangor

HULU LANGAT, 6 NOV: Kejayaan Kerajaan Perpaduan di Selangor melunaskan lima manisfesto penting dalam tempoh kurang 100 hari pentadbiran bukti komitmen jitu mengekalkan daya saing dan daya tahan negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dalam tempoh 76 hari selepas mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar buat penggal kedua pada 21 Ogos, lima tawaran mencakupi pelbagai bidang iaitu ekonomi, kebajikan wanita dan petani, pendidikan serta pemerkasaan institusi agama berjaya dilengkapkan.

“Alhamdulillah walaupun saya janjikan 100 hari bermakna daripada tarikh saya angkat sumpah saya ada 100 hari melunaskan janji dan tekad tersebut.

“Hari ini tepat hari ke-76 selepas angkat sumpah selaku MB kita dapat laksanakan e-baucar buku sekali gus melengkapkan kelima-lima perkara yang kita janjikan dalam tempoh 100 hari pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Tekad Pendidikan Kita Selangor: Penyerahan e-Baucar Buku Mahasiswa 2023 di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Penyerahan E-Baucar Buku Kepada Mahasiswa Selangor 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata usaha memajukan negeri mencakupi pelbagai bidang menjadi keutamaan bagi memastikan Selangor kekal sebagai permata dan pusat penting pembangunan dan kemajuan dalam negeri, negara serta rantau Asia Tenggara.

E-baucar buku mahasiswa bernilai RM200 bakal memanfaatkan 1,000 mahasiswa anak Selangor yang menuntut di sembilan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan peruntukan RM200,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Selain itu, empat janji dalam Tekad Kita Selangor sudah dilaksana pentadbiran ini merangkumi insentif RM1,000 bagi penjagaan anak (MamaKerja) yang bakal memanfaatkan 5,000 wanita seluruh negeri.

Turut dilaksanakan pengecualian cukai taksiran 426,656 rumah kos rendah dan kampung untuk penggal kedua tahun ini melibatkan implikasi kewangan RM29.415 juta.

Tawaran lain bayaran kepada 760 imam negeri ini ditingkatkan sebanyak RM200 kepada RM1,500 manakala elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak juga dinaikkan RM50 sebulan kepada RM300 (nazir), RM340 (bilal) serta RM290 (siak).

Ia termasuk insentif RM1,000 kepada 500 golongan petani dan nelayan berbentuk RM500 tunai manakala baki menerusi input peralatan.


Pengarang :