Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada majlis pelancaran fasa kedua Peta Hala Tuju F:30 FAM bagi tahun 2023-2026 di Hotel Dorsett Grand Subang pada 11 November 2023. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Memperkasa organisasi antara teras utama peta hala tuju FAM bagi 2023-2026

SUBANG JAYA, 11 NOV: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan fasa kedua Peta Hala Tuju F:30 bagi tahun 2023-2026, dengan tiga teras utama iaitu penumbuhan permainan, memperkasa organisasi dan pengembangan jenama.

Majlis pelancaran fasa kedua peta hala tuju itu telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin di sini hari ini.

Menerusi pelan strategik yang digariskan, lapan aspek diletakkan di bawah teras penumbuhan permainan merangkumi bola sepak lelaki dan wanita, pembangunan remaja serta akar umbi, selain pendidikan kejurulatihan.

Aspek lain di dalam teras pertama itu ialah memperkasa pembangunan futsal dan bola sepak pantai, selain memberi tumpuan kepada pengadil dan e-sukan.

Dalam pada itu, empat perkara ditekankan dalam teras kedua, memperkasa organisasi iaitu infrastruktur, pendidikan, promosi pendigitalan dan memperkasa ahli gabungan.

Manakala teras ketiga, pengembangan jenama akan menekankan tiga aspek iaitu penajaan, penerokaan platform baharu dan pembangunan kandungan bersesuaian.

Sementara itu, Hamidin berpendapat fasa pertama Peta Hala tuju F:30 2019-2022, telah berjaya dicapai secara keseluruhannya.

Beliau berkata prestasi ditunjukkan rata-rata pasukan sehingga ke peringkat senior, memberi petanda bola sepak Malaysia semakin meningkat, selain berharap kesinambungan itu dapat diteruskan pada setiap kejohanan akan datang dalam tempoh fasa kedua F:30.

“Untuk fasa kedua, kita mengharapkan setiap pasukan ini akan meneruskan persembahan cemerlang dan konsisten ke pusingan akhir Kejohanan di bawah AFC (Konfederasi Bolasepak Asia),” katanya.

Peta hala tuju F:30 dengan tempoh 12 tahun itu (2019-2030), dilancarkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino pada 31 Okt 2018, dibahagikan kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Ia disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia dan disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

– BERNAMA


Pengarang :