PBTSELANGOR

MPS buka kaunter perbaharui lesen niaga mulai 18 Disember

SHAH ALAM, 3 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuka kaunter pembaharuan lesen perniagaan 2024 di Lobi Menara MPS pada 18 hingga 30 Disember depan.

Bahagian Perhubungan Awamnya memaklumkan waktu operasi kaunter ialah jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pemilik perlu menyemak pautan https://my-esim.mps.gov.my terlebih dahulu dan jika mempunyai tunggakan, mereka perlu menjelaskannya atau lesen tidak boleh diperbaharui.

Bagi yang tiada tunggakan, mereka boleh mengemas kini maklumat lesen (sekiranya perlu) menerusi https://lesendigital.mps.gov.my/ seterusnya melakukan pembayaran dan pembaharuan lesen menerusi MyMPS di https://mymps.mps.gov.my

Pemilik lesen minuman keras, papan iklan besar, kilang tanpa kebenaran (KTK), refleksologi, pusat siber, hotel, barang lusuh dan kuari perlu hadir dan mengambil lesen di kaunter Jabatan Pelesenan MPS.

Manakala pemilik pusat cuci kenderaan, bengkel kenderaan dan restoran pula perlu melalui proses yang sama dengan tambahan membawa salinan gambar pemasangan perangkap minyak (grease trap) dan jadual penyelenggaraan.

Semua pemilik diingatkan untuk membuat bayaran pembaharuan lesen perniagaan sebelum atau pada 31 Disember bagi mengelak caj fi proses lewat 10 peratus daripada jumlah aktiviti lesen serta tindakan tutup dan sita premis.

Dalam perkembangan lain, MPS memaklumkan lebih RM8.6 juta kutipan hasil bagi pembaharuan lesen perniagaan diperoleh tahun ini berbanding sasaran RM12.2 juta.

“Sebanyak 11,546 akaun telah memperbaharui lesen daripada 17,165 akaun yang berdaftar,” katanya dalam kenyataan.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan MPS di talian 03-6126 5942/43 atau layari http://www.mps.gov.my


Pengarang :