Seramai 1,306 pelajar Universiti Selangor (Unisel) menerima anugerah masing-masing sempena istiadat konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri belanja RM23 juta beri biasiswa kepada 1,700 pelajar Unisel

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM23 juta membiayai yuran pengajian 1,700 pelajar Universiti Selangor (Unisel) bagi program asasi sejak 2016, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan disalur menerusi beberapa skim biasiswa bagi meringankan beban kewangan pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi itu.

“Data dari Unisel menunjukkan bahawa 64 peratus pelajar adalah dalam kalangan isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40).

“Unisel turut menyediakan skim biasiswa dan derma siswa untuk membantu pelajar  seperti Biasiswa Naib Canselor, Biasiswa Bistari, Biasiswa Bistari Sains Kesihatan dan Derma Siswa Asasi Unisel untuk memastikan golongan ini tidak tercicir,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron yang ingin mengetahui usaha dilakukan Unisel membantu pelajar dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri turut menyediakan dana sebanyak RM2 juta bagi meneruskan program Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU).

“Selain itu, bantuan melalui Unit Zakat Unisel pula telah membantu menyalurkan bantuan bagi tujuan yuran sebanyak RM249,000 pada tahun 2021, RM249,639.08 pada tahun 2022 telah diagihkan kepada pelajar yang lulus dalam program bantuan ini,” katanya.


Pengarang :