Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sembah ucapan ketika Majlis Perisytiharaan Hutan Warisan Diraja Selangor di Hotel Double Tree Hilton, Shah Alam pada 28 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri pergiat usaha lestari alam sekitar, kekal minimum 30 peratus luas hutan

SHAH ALAM, 28 NOV: Pentadbiran negeri mempergiat usaha melestari alam sekitar bagi mengekalkan minimum 30 peratus tanah di Selangor sebagai kawasan hutan.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antaranya melibatkan penanaman 11 juta pokok dan program kesedaran awam berkaitan pemuliharaan hutan.

“Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dalam perbincangan menitahkan untuk kita lebih banyak menerangkan dalam pelbagai medium. Ada medium gambar, video, buku di sekolah.

“Usaha itu saya rasa akan dirangka kembali antara Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri. Ini penting supaya kesedaran masyarakat untuk memelihara hutan adalah tinggi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas majlis pengisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor yang disempurnakan Baginda di sini hari ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melihat buku Hutan Warisan Diraja Selangor selepas merasmikan Perisytiharaan Hutan Warisan Diraja Selangor di Hotel Double Tree Hilton, Shah Alam pada 28 November 2023 Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin dalam sembah ucapannya berkata pentadbiran negeri menyokong agenda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berkait pemeliharaan biodiversiti serta perubahan iklim.

Agenda berkenaan jelasnya, dengan mengamalkan dasar moratorium ke atas pembalakan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) selama 25 tahun sejak 2010 dan menerima pakai Dasar Perhutanan Malaysia pada 2021.

Selain itu, penerimaan dasar pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perhutanan Negara pada 2022 dan Dasar Kepebagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 yang dilancar 24 Oktober lalu.

“Ia termasuk memelihara Kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) melibatkan dua koridor Secondary Linkage iaitu Raja Musa-Bukit Tarek-Gading dan Sungai Lalang-Hulu Langat.

“Pada masa sama meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan melalui rondaan berkala, operasi bersepadu dan penggunaan teknologi satelit yang menjadi elemen penting membanteras kemusnahan habitat ekologi hutan,” katanya lagi.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat reruai pameran selepas merasmikan Perisytiharaan Hutan Warisan Diraja Selangor di Hotel Double Tree Hilton, Shah Alam pada 28 November 2023 Turut sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :