Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan simbolik perasmian program penanaman pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa peringkat Selangor di kaki Bukit Broga, Hulu Langat pada 24 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pengurusan hutan, alam sekitar secara lestari teras utama RS-1

Oleh Zulaikha Zulkifli

SEMENYIH, 24 SEPT: Pelan pembangunan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Selangor diyakini membentuk sebuah negeri yang mempunyai pengurusan hutan dan alam sekitar secara lestari.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut menjadi antara tema utama dalam merangka inisiatif dan strategi efisien serta berimpak tinggi, seiring kepentingan pemeliharaan hutan di negeri ini.

“Melalui pelancaran RS-1 baru-baru ini, pengurusan hutan dan alam sekitar secara lestari telah menjadi antara tema utama Kerajaan Negeri.

“Dalam kita menghadapi insiden luar jangka seperti kesan hujan yang berpanjangan dan bencana banjir besar, Kerajaan Negeri telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Selangor sebagai negeri tahan uji dan rakyatnya sentiasa dilindungi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap sempena Program Penanaman Pokok Sempena Hari Hutan Antarabangsa peringkat Selangor di Bukit Broga di sini, hari ini. Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Pada 2 Ogos lalu, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul projek pembangunan RS-1 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion.

RS-1 menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.


Pengarang :