EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri yakin mampu sedia peluang kerja bergaji tinggi buat anak muda

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri optimis dapat merealisasikan hasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak muda.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata keyakinan itu didorong jangkaan ekonomi Malaysia khususnya Selangor bertambah baik pada tahun depan.

“Kadar pertumbuhan ekonomi pembuatan dan perkhidmatan agak perlahan bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara serta juga di rantau ini.

“Tetapi Kerajaan Negeri yakin tahun depan ekonomi negara kita termasuk di Selangor akan bertambah baik dengan situasi ekonomi seluruh dunia.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan beri tumpuan industri pengecasan kenderaan elektrik (EV) agar ekosistemnya dapat diwujudkan supaya dapat dimanfaatkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung hasrat Kerajaan Negeri mencipta gaji tinggi di Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han menambah, Kerajaan Negeri juga menubuhkan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor bagi memastikan manifesto tawar gaji tinggi kepada 100,000 anak muda dicapai.

Jelasnya, usaha berkenaan adalah sebahagaian daripada tawaran yang terkandung dalam manifesto 5 Tekad 5 Tahun oleh Gabungan Perpaduan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 yang lalu.

“Penubuhan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor memberikan fokus lima bidang iaitu makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, sains hayat, pengangkutan, serta mesin dan peralatan.

“Tambahan kepada itu, 21 industri yang direncanakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) seperti aeroangkasa, peralatan perubahan, automotif, rel, digitalisasi serta farmaseutikal,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.


Pengarang :