Awang Damit bersama hasil karyanya Roh-roh yang tenang, ingatlah buat Sabra dan Shatila, Al-Fatihah ketika majlis pembukaan Colours For Gaza di Galeri Puteh, Kuala Lumpur pada 15 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran seni ‘Colours For Gaza’ tanda solidariti, kenang kesengsaraan rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Pameran seni ‘Colours For Gaza’ yang menghimpunkan lebih 50 seniman tempatan dan antarabangsa menyampaikan karya masing-masing sebagai tanda solidariti buat rakyat Palestin.

Seniman Awang Damit, 67, berkata lukisan berjudul ‘Roh-roh yang tenang, ingatlah buat Sabra dan Shatila, Al-Fatihah’ mengaitkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza ketika ini sama seperti peristiwa hitam jenayah perang dilakukan tentera Israel terhadap kem pelarian Palestin di Beirut, Lubnan pada 1982.

Beliau menjelaskan lukisan tersebut dijual pada harga RM40,000 dan seluruh hasil jualan akan disalurkan kepada tabung bantuan Palestin.

“Lukisan ini mengenang peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila yang mengorbankan 100,000 nyawa angkara tentera zionis kini berlaku semula di Gaza yang banyak membunuh kanak-kanak serta wanita.

“Maksud kain kafan putih pada lukisan merujuk penduduk Gaza bersedia menghadapi kematian dalam syahid walaupun tidak memegang senjata,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran semalam.

Bagi seniman Azlan Mam, 50, beliau menggunakan teknik seni instalasi dengan menggunakan barang buangan untuk menghasilkan karya berjudul ‘Postcards from Jerusalem, Postcards from Gaza’.

Azlan juga bercadang untuk menyumbang 60 peratus hasil jualan karya seninya yang bernilai RM28,000 buat penduduk Gaza.

“Saya bekerja di hospital bahagian biomedikal, jadi guna bahan pakai terbuang yang tidak digunakan pesakit saya seperti teh uncang pesakit, kertas gambar rajah jantung pesakit dan plaster berubat pada karya saya.

“Karya ini menerapkan unsur sejarah menceritakan rancangan pengasas Yahudi, Theodor Herzl sejak 1900 untuk menakluk Baitulmaqdis bagi membangunkan kuil Haikel Sulaiman (tempat ibadat Yahudi),” kongsinya.

Seorang lagi seniman dari Brazil Kika Goldstein, 39, karyanya berjudul ‘Return of The Cave’ bernilai RM17,000 menggambarkan situasi di Gaza pada masa kini telah membawa penduduknya kembali ke kehidupan zaman primitif.

“Simbol caves (gua) dalam lukisan menunjukkan rakyat Gaza duduk dalam gua dengan keadaan derita untuk membuka mata pelbagai pihak mengenai keadaan mereka.

“Jadi saya menyertai pameran ini dengan harapan dapat menyumbang seluruh hasil jualan saya untuk membantu penduduk Palestin yang mengalami krisis kemanusiaan ketika ini,” katanya.

Pameran “Colours For Gaza” di Galeri Puteh, KL Eco City Mall berlangsung dari 14 hingga 21 November ini.

 


Pengarang :