Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Tekal kritik pembantaian rejim Zionis di Gaza

Oleh AMIRUDIN SHARI

Seantero dunia disergah kecamuk. Perang Ukraine belumlah selesai. Konflik di Asia Timur dan pasifik belumlah reda dan yang terkini kezaliman rejim Zionis di Timur Tengah terhadap rakyat Palestin masih berterusan.

Kesemua konflik yang sedang menggelegak ini berpotensi memperlahankan ekonomi dunia. Sedangkan pada awal tahun ini, merujuk kepada laporan institusi seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu ekonomi dunia memperlihatkan ciri-ciri pemulihan selepas pandemik Covid-19.

Laporan Bank Dunia The Global Economic Prospect bulan Jun 2023, Laporan OECD Economic Outlook Interim Report September 2023 dan Laporan IMF World Economic Outlook, diterbitkan bulan Oktober 2023 yang berjudul Navigating Global Divergences kesemuanya mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan buat tahun 2024 iaitu di bawah 3.0 peratus, sekitar 2.7 peratus sehingga 2.9 peratus sahaja.

Laporan-laporan tersebut saya yakin diluncurkan dengan tidak mengambil kira perkembangan terkini di Palestin yang berpotensi meledak menjadi konflik serantau — sesuatu yang kita berharap tidak terjadi.

Waima demikian, sebagaimana yang dibentangkan oleh menteri kewangan ketika Belanjawan Madani 2024, pertumbuhan ekonomi negara yang didorong permintaan domestik sementara inflasi negara yang terkawal, keadaan pasaran buruh yang positif, rizab asing yang kukuh, lebihan akaun semasa dan tabungan negara yang tinggi serta kepesatan sektor kewangan dan pasaran modal yang teguh, terus mengekalkan momentum positif pertumbuhan ekonomi.

Walaupun berdepan kelembapan ekonomi dunia, Malaysia berjaya merekodkan pertumbuhan 4.2% pada separuh pertama 2023 dan dijangka mencatat sekitar 4% bagi keseluruhan 2023.

Manakala itu pertumbuhan ekonomi negeri Selangor pada tahun ini dijangka pada kadar 4.4%. Keadaan ini selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terkesan dengan ekonomi global.

Situasi tersebut bakal memberi kesan kepada sektor pembuatan Selangor, yang diunjurkan tumbuh dengan lebih perlahan pada kadar 1.4% pada tahun ini.

Pertumbuhan ekonomi negeri Selangor pada tahun ini dijangkakan dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan iaitu sekitar 5.8% serta disokong oleh perbelanjaan domestik yang rancak.

Perubahan dunia

Saya menjangkakan dunia akan semakin berpencar-pencar, semakin polarized, membuatkan ramai yang bingung, keliru, marah serta tidak tenteram.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita, sebagai kerajaan, sebagai wakil kepada rakyat tatkala dunia berpencaran, untuk menyirnakan kekaburan, dengan izin tuan speaker, “to extinguish confusions” menyediakan sebuah negeri yang teduh buat rakyat negerinya berlindung dan bermastautin.

Tugas ini bukanlah mudah. Sementara kita menggarap dasar mendepani cabaran zaman, berhempas pulas melaksanakan dasar dan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat negeri Selangor ada yang menyebarkan kebencian serta pembohongan terutamanya melalui media sosial.

Segelintir puak politik yang tidak bertanggungjawab seharusnya belajar bagaimana aktivis seluruh dunia berbilang kaum dan kepercayaan menggembleng pertembungan menentang naratif batil rejim Zionis.

Kita menyaksikan beberapa minggu ini aksi bersenjata ganas dan penghapusan kaum yang dilancarkan rejim Zionis bertembung dengan penentangan naratif anak muda di media sosial.

Anak muda dari Amerika Selatan, di Kuala Lumpur, di Jakarta, di London dan di Washington DC membantah keganasan Zionis dan mempertikaikan sikap berat sebelah Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sementelahan itu menerusi media sosial juga, sarjana Muslim seumpama Imam Omar Suleiman dari Institut Yaqeen, Hasan Spiker, pengamal media seperti Khaled Beydoun dan Motaz Azaiza terus istiqamah mengkritik kezaliman rejim Zionis dan membangkitkan kesedaran terhadap kempen genocide rejim Zionis.

Kita menyaksikan kemenangan kemanusiaan ke atas kebatilan apabila klip-klip penerangan yang mempertikaikan penjajahan rejim Zionis oleh sarjana sejarah seperti Avi Shlaim, Cornel West, Ghassan Kanafani dan Noura Erakat banyak tersebar.

Selain itu wawancara Piers Morgan dengan Bassem Youssef juga mencerahkan ramai pihak terutamanya mereka yang baru mula memahami penjajahan Zionis ini. Wawancara pusingan pertama sudah mencecah 20 juta tontonan dan pusingan kedua pula sudah mencapai 9 juta penonton.

Senjata media sosial

Tidak dapat dinafikan platform media sosial, seumpama X, TikTok, Facebook, WhatsApp, Instagram dan Telegram mampu menjadi wahana suara mahukan perubahan sebagaimana perlawanan menentang rejim Zionis, akan tetapi ia juga boleh dimanipulasi sebagai senjata, dengan izin, tuan speaker, ‘weaponized’, sebagai pelantar yang merosakkan, menyebarkan kebencian, keyakinan palsu yang menimbulkan polarisasi ataupun perpecahan serta penipuan.

Kini, konflik dan kekacauan yang mungkin terjadi beribu-ribu batu jauhnya terasa semakin dekat. Klip-klip ringkas menggantikan pengajian ilmu, kuliah, syarahan dan telaah buku. Media sosial menyumbat fikiran kita dengan ribuan imej dan maklumat. Sedangkan maklumat tersebut belum tentu tepat bahkan ada yang sengaja memesongkan masyarakat serta bertujuan untuk menimbulkan huru-hara.

Oleh kerana itu, kita harus berwaspada untuk menghadam segala macam maklumat yang tersebar melalui media sosial. Bagaikan menyikat rambut halus. Dengan izin tuan speaker untuk menemui ‘fine balance’ di antara kebebasan bersuara dan kemungkinan anarki atau kekacauan.

Justeru Kerajaan Negeri seiring dengan Kerajaan Pusat beristiqamah untuk kekal ligat memacu kemajuan dan memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri seumpama Belanjawan Negeri 2024 ini menumpukan usaha memperteguhkan Perpaduan dan keharmonian rakyat negeri Selangor.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2022 adalah kukuh dan stabil.

Sehingga 31 Disember 2022, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan telah merekodkan sebanyak RM3.082.17 bilion.

Bagi tahun 2023 ini, sehingga 9 November 2023, jumlah agregat terkumpul Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri terus kukuh dan stabil apabila merekodkan peningkatan sebanyak RM631.48 juta kepada RM3.713.65 bilion yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.499.97 bilion dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2.213.68 bilion.

Menggunakan pendekatan dan strategi perbelanjaan yang berkesan dan berhemah, prestasi kewangan Kerajaan Negeri sehingga 9 November 2023 telah merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta.

Secara spesifiknya, kutipan hasil Negeri sehingga 9 November 2023 yang telah direkodkan berjumlah RM2.405.09 bilion dan telah digunakan sebanyak 85.97 peratus atau RM1.113.27 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala sebanyak 72.05 peratus atau RM864.56 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Berdasarkan pencapaian prestasi dan kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri sehingga 9 November 2023, Kerajaan Negeri optimis akan dapat mengecilkan unjuran defisit tahun 2023 daripada RM495 juta kepada angka yang lebih rendah, yang boleh ditampung oleh rizab sedia ada Kerajaan Negeri.

 

Petikan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2024 pada 10 November 2023 di Dewan Negeri.


Pengarang :