Orang ramai berpeluang melawat dan melihat pameran ketika mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (RAC), Bukit Jelutong pada 7 September 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pameran udara negeri catat potensi nilai transaksi RM823 juta, terima 19,217 pelawat

SHAH ALAM, 20 NOV: Sebanyak RM823 juta potensi nilai transaksi dicatat sepanjang penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 pada 7 hingga 9 September.

EXCO pelaburan berkata pameran di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark di sini turut merekodkan kehadiran 19,217 pelawat perdagangan, melebihi sasaran 12,000 orang.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han ketika ditemui media selepas majlis penutup Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) di Menara PNS Bangsar South, Kuala Lumpur pada 1 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“55.1 peratus daripada jumlah pengunjung adalah pelawat perdagangan manakala 44.9 peratus orang awam, sekali gus mengatasi sasaran 10,563 pelawat yang dicatatkan tahun lepas.

“Bagaimanapun, nilai transaksi menurun berbanding RM1.174 bilion yang direkodkan tahun lepas berikutan sektor penerbangan baharu dibuka selepas pandemik. Kita percaya (potensi nilai transaksi) akan meningkat pada tahun mendatang,” kata Ng Sze Han.

Bercakap pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, beliau berkata sebanyak 28 memorandum persefahaman (MoU) daripada pelbagai subsektor industri aeroangkasa dimeterai pada edisi ketiga SAS, berbanding 14 pada tahun lepas.

Tambah Sze Han, SAS juga berjaya menghimpunkan 109 pempamer dari 10 negara yang mewakili syarikat industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia.

“Selain itu, sebanyak 49 pesawat statik dipamerkan berbanding 30 tahun lepas, dengan 28 daripadanya pesawat tempatan dan selebihnya pesawat antarabangsa.

“SAS kali ini juga membuka peluang kepada generasi muda untuk terlibat dalam pameran kerjaya yang menampilkan 26 syarikat penerbangan dan aeroangkasa dari dalam serta luar negara,” katanya.

Orang ramai berpeluang bergambar bersama keluarga di hadapan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, SAS 2023 melibatkan penyertaan 42 negara antaranya Singapura, Amerika Syarikat, China, Indonesia, Perancis, Jepun dan Switzerland.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.


Pengarang :