Pelakon popular Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 18 Januari 2023 atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelakon Sharnaaz Ahmad lepas, bebas tuduhan pukul pengawal keselamatan

SHAH ALAM, 17 NOV: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan pelakon Sharnaaz Ahmad atas pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan, Jun tahun lalu.

Keputusan tersebut dibuat selepas pihak pendakwaan menerima representasi dikemukakan Sharnaaz atau nama sebenarnya Ahmad Basir Ahmad kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), lapor Berita Harian.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim berkata pelakon selaku Orang Kena Saman (OKS) dilepas dan dibebaskan termasuk wang jaminan dikembalikan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Pada 16 Jun 2022, pelakon filem Juvana itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pada 8.30 malam.

Sharnaaz, 38, dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pengarang :