EXCO Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan IKS dan Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor Ng Sze Han ketika sidang media pengumuman perolehan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Bilik Gerakan MTES, Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penuhi permintaan pempamer, sidang niaga dianjur dua kali tahun depan

SHAH ALAM, 20 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan diadakan dua kali tahun depan bagi menampung permintaan tinggi pempamer.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata sidang bertaraf antarabangsa dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Julai dan 16 hingga 19 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) akan memaklumkan lebih lanjut berhubung SIBS 2024 melalui pautan http://www.selangorsummit.com atau platform media sosial Facebook, Instagram, LinkedIn dan X.

“Kita percaya SIBS akan terus memainkan peranan penting untuk pemain industri tempatan meneroka potensi pasaran serantau,” katanya pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan IKS dan Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor Ng Sze Han (tiga, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris selepas sidang media pengumuman perolehan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Bilik Gerakan MTES, Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sze Han menambah SIBS 2023 yang berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober lalu merekodkan nilai transaksi pelaburan RM6.12 bilion, meningkat 322 peratus berbanding RM1.45 bilion dicatat tahun lepas.

Beliau menjelaskan pelaburan tertinggi diperoleh daripada Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dengan mencatat RM597.3 juta diikuti Ekspo Taman Perindustrian Selangor (RM468.4 juta) serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (RM80 juta).

“Sebanyak 34 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan pelbagai subsektor industri selain mencatat kehadiran 57,249 pelawat dari 83 negara.

“Selain itu, sebanyak 972 reruai tersedia manakala 612 pempamer tempatan dan luar negara terlibat pada enam acara utama SIBS yang berlangsung di lapan dewan ekspo serta tujuh dewan persidangan KLCC,” katanya lagi.

Dianjur sejak 2015, SIBS membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.

China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran edisi ketujuh.

Tiga acara utama lain diketengah meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.


Pengarang :