Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM kesal ada pihak pertikai tindakannya bawa isu Palestin di APEC

SHAH ALAM, 23 NOV: Perdana menteri kesal dengan kenyataan beberapa pihak berhubung pendiriannya mengenai isu Palestin di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan memberi risiko kepada negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata suaranya di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi mempertahan nilai kemanusiaan selain menyampaikan pendirian negara serta tanggungjwab sebagai rakyat Malaysia.

“Ada suara sumbang katakan Anwar beri risiko kepada negara, ekonomi sedangkan di sini (negara) ada rakyat minoriti tidak dibela. Saya kesal dengan pandangan sedemikian.

“Rakyat minoriti mana dibom? Anak kecil mana dibunuh beramai-ramai? Tanah mana dirampas? Rumah mana diroboh? Apakah kita tidak boleh mempertahan nilai kemanusiaan?

“Ketepikan fahaman kaum, agama dan lihat dari segi kemanusiaan. Bila saya sebut begini, saya diserang. Anwar kata tiada kena mengena dengan agama. Pusing lagi. Saya sebagai tetamu Joe Biden, mencari kekuatan menyampaikan yang benar. Kalau tidak mahu berterima kasih, janganlah kutuk lagi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Pada 19 November, Anwar menggunakan ruang pada sidang akhir APEC di San Francisco, Amerika Syarikat bagi membangkitkan isu penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin.

Selain Malaysia, daripada 21 ekonomi yang menyertai APEC 2023, Brunei dan Indonesia turut menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu di sini.

Ketiga-tiga mereka dalam satu langkah penting turut memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan berasingan pada penghujung Minggu Pemimpin APEC 2023, menggesa gencatan senjata di Gaza.

Ia selepas Ekonomi APEC gagal mencapai kata sepakat mengenai perenggan yang dicadangkan oleh AS berhubung isu geopolitik melibatkan Rusia dan Ukraine, yang tidak menyentuh tentang Gaza.


Pengarang :