Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Malaysia lebih agresif tahun depan, angkat martabat negara hebat

SHAH ALAM, 23 NOV: Hala tuju Malaysia dibentuk lebih agresif tahun depan, sekali gus mampu mengangkat martabat sebagai negara hebat di rantau ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sasaran itu berdasarkan beberapa perubahan dicapai dalam tempoh setahun menerajui pentadbiran, termasuk membawa politik lebih stabil.

Menurutnya, keadaan itu juga mampu menarik lebih ramai pelabur kerana dasar ekonomi, industri, transisi tenaga dan transformasi pendigitalan lebih jelas dan bakal membantu mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya tahu perubahan tidak mudah, sebab itu mulakan dengan kerajaan walaupun tidak disenangi banyak pihak. Mula dengan tatakelola. Sikap baik yang disebut madani bukan sahaja soal kemampanan, ihsan, rahmah atau daya cipta inovasi tetapi juga akhlak yang baik.

“Apabila mereka (pelabur Geely, Elon Musk) datang, saya tanya apa istimewanya Malaysia? Mereka kata sekarang ini politik stabil. Orang politik bising di parlimen itu biasa. Orang yang mengidam ambil alih kerajaan, agak susah sekarang ini,” katanya.

Berucap dalam majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir hari ini, Anwar berkata ekonomi negara perlu diurus dengan baik bagi mencapai lebih banyak kejayaan.

Jelas perdana menteri, ia termasuk memperkasa dan menyediakan tenaga kerja mahir terutama dalam bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET) selaras keingian pelabur.

“Malaysia menjadi perhatian semula setelah ketinggalan beberapa lama. Ini bukan kerana pimpinan politik tetapi pelabur baik Geely, Infineon, Google, Elon Musk menyatakan mereka gembira dengan berpuas hati dengan kualiti tenaga mahir dan golongan profesional (negara).

“(Bagaimanapun) kita harus meningkatkan lagi kemahiran dengan kawalan displin dan akhlak baik supaya membawa lebih persespi (kepada pelabur) selain menambah ketrampilan (tenaga kerja mahir),” katanya.

 


Pengarang :