Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York pada 22 September 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM: Sumbangan Tunai Rahmah noktahkan kemiskinan tegar

SHAH ALAM, 2 NOV: Pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada rakyat termiskin yang ditingkatkan kadar maksimum daripada RM3,100 kepada RM3,700 dapat menoktahkan kemiskinan tegar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata malah pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditingkatkan daripada RM600 kepada RM1,200 untuk 700,000 penerima turut menyumbang ke arah itu.

“Sebab itu saya yakin kalau rakyat termiskin negara ini dapat RM3,700, ini dengan sendirinya akan memudahkan langkah-langkah menoktahkan kemiskinan tegar.

“Jadi kalangan yang bangkitkan sikit-sikit nak naik harga, jangan lupa bahawa penambahan dan bantuan langsung kepada keluarga ini bukan kepada yang paling miskin sahaja tetapi kepada sembilan juta kelas menengah,” katanya pada sesi Penggulungan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini .

Pada pembentangan Belajawan 2024 lalu, Anwar berkata sebanyak RM10 bilion diperuntuk kepada skim STR tahun depan, meningkat RM2 bilion berbanding tahun ini.

Kadar maksimum STR meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 untuk kategori keluarga manakala belia mendapat RM500 berbanding RM350 sebelum ini yang bayaran pertamanya di buat sebelum Ramadan.

Skim SARA pula diperluaskan dengan manfaat 700,000 penerima STR dengan nilai RM100 sebulan bagi tempoh 12 bulan.


Pengarang :