Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Amanpada 10 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis keluar lebih 21,000 saman ke atas kenderaan berat dalam Op Perdagangan

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Sebanyak 21,200 saman melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan ke atas 135,193 kenderaan berat menerusi Op Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara dari 20 September hingga 14 November lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata 109 individu turut ditahan dalam operasi berkenaan.

“Antara kesalahan yang direkodkan membawa muatan berlebihan dan fizikal kenderaan tidak memuaskan yang berisiko menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KPN bagi November 2023 anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman, di sini hari ini.

Razarudin berkata polis memandang serius kes kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas hingga mengorbankan nyawa orang ramai.

Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan Lebuhraya Persekutuan pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya langkah proaktif juga telah diambil termasuk melaksanakan Op Perdagangan secara berterusan ke atas kenderaan berat bagi memastikan pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan mematuhi peraturan serta undang-undang keselamatan jalan raya.

“Dari Januari hingga Oktober lepas, polis melaksanakan 1,078 Op Perdagangan berbanding 797 operasi dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Selain itu, polis juga telah meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan bermula dari 20 September hingga 14 November lalu,” katanya.

Razarudin turut meletakkan harapan tinggi ke atas warga JSPT agar terus konsisten dan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan selari dengan pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022/2023.

Beliau berkata menerusi pelan yang dibangunkan itu, kementerian dan agensi yang berkepentingan termasuk polis akan terus bekerjasama merencana perancangan strategik dan langkah intervensi sekali gus mencapai hasrat ke arah mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

– BERNAMA


Pengarang :