AGENDAJENAYAH

Polis tahan dua lelaki di Bukit Puchong, rampas dadah bernilai lebih RM6 juta

SHAH ALAM, 20 NOV: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah disyaki jenis methamphetamine lebih 191 kilogram di Bukit Puchong dekat sini pada 12 November lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata dua lelaki berumur 32 dan 36 tahun yang berperanan sebagai transporter (penghantar) itu menyorokkan dadah berkenaan di dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

“Dua individu itu ditahan di Bukit Puchong di dalam sebuah kereta Perodua Alza pada 7.30 malam dan soal siasat terhadap kedua-dua mereka membawa kepada penemuan dadah seberat 191,516 gram di dalam sebuah Ford Ranger yang diletakkan 15 meter dari lokasi mereka ditahan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sasikala Devi berkata siasatan terhadap mekanik dan pekerja buruh itu mendapati mereka yang mendakwa baru kali pertama melakukan jenayah berkenaan memperoleh bekalan dadah dari negara di utara tanah air dan dibawa masuk melalui Pantai Timur dan disimpan di Lembah Klang sebelum dihantar ke Kedah.

Kedua-dua individu berkenaan katanya, menerima bayaran antara RM5,000 hingga RM7,000 setiap seorang untuk sekali penghantaran.

Beliau berkata kedua-dua yang ditahan juga didapati positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan kes dadah lampau.

“Nilai rampasan dadah berjumlah RM6.32 juta, manakala Perodua Alza bernilai RM40,000. Kedua-dua lelaki berkenaan direman hingga 22 Nov dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Sasikala Devi berkata motif hutang merupakan punca seorang wartawan warga Bangladesh dikurung dan diugut oleh beberapa individu termasuk anggota polis.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak lapan individu telah ditahan dan pihaknya sedang mengesan empat orang lagi melibatkan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Punca kejadian akibat mangsa berhutang dengan seorang daripada individu yang ditahan,” katanya.

Pada 10 Nov lepas, tiga anggota polis berpangkat rendah berumur 28 hingga 34 tahun dan tiga orang awam berusia 30-an ditahan di pejabat operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 9.30 malam kerana disyaki memeras ugut dan mengurung seorang lelaki warga asing.

– BERNAMA


Pengarang :