Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian, Mat Iesak Ngatinee melawat tapak pameran tanaman sayuran peserta program Kebuniti Madani sempena Majlis Perasmian Program Kebuniti Madani Peringkat Negeri Kelantan di perkarangan Aeon Mall, Kota Bharu pada 23 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Kebuniti Madani tampung keperluan penduduk ketika musim tengkujuh

KOTA BHARU, 23 NOV: Program Kebuniti Madani yang mula dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak tahun lepas dijangka boleh menampung keperluan makanan komuniti setempat sepanjang musim Monsun Timur Laut.

Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak Dan Baja Jabatan Pertanian Mat Iesak Ngatinee berkata terdapat 591 lokasi projek bagi sektor tanaman telah diusahakan menerusi program itu di seluruh negara tahun ini.

“Program ini sedikit sebanyak membantu isi rumah meringankan kos sara hidup terutama di musim monsun timur laut yang kebiasaannya berlaku peningkatan harga sayuran.

“Peserta bukan hanya dapat melakukan penjimatan sehingga RM150 sebulan malah boleh meraih pendapatan sampingan menerusi jualan tanaman masing-masing” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebuniti Madani, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Negeri Kelantan Norbahani Zakaria.

Mat Iesak berkata berdasarkan kejayaan program tersebut, KPKM akan menambah peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta untuk tujuan sama pada tahun depan bagi menggalakkan amalan pertanian dan pengeluaran makanan yang lebih mampan.

“Peruntukan tambahan ini akan diagihkan kepada semua peserta program di seluruh negara tahun hadapan sebagai rangsangan kepada pelaksanaan projek tanaman sedia ada,” katanya.

Beliau berkata Program Kebuniti Madani adalah inisiatif KPKM melalui peruntukan sebanyak RM30 juta dilaksanakan selama empat tahun bermula 2022 bagi membantu meringankan kos sara hidup melalui penghasilan sendiri produk makanan melalui bimbingan Jabatan Pertanian.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM19.1 juta bagi pelaksanaan program berkenaan di seluruh negara bagi tahun ini dengan agihan RM11.9 juta untuk sektor tanaman (591 lokasi), RM3.9 juta sektor akuakultur (187 lokasi) dan RM3.2 juta bagi sektor ternakan (154 lokasi).

Sementara itu beliau berkata setakat ini tiada sebarang projek tanaman yang terjejas banjir dan kementerian akan membantu peserta jika berdepan masalah itu mengikut keperluan termasuk bantuan bencana dalam bentuk barangan untuk memulakan semula projek.

– BERNAMA


Pengarang :