Penolong Kanan Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Khairul Fahmi Juair memantau keadaan cuaca selepas perasmian Pusat Pengoperasian Bencana Daerah (DDOC) Pejabat Daerah Dan Tanah Petaling di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Seksyen U5, Shah Alam pada 2 November 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pusat operasi bencana diperluas ke seluruh daerah, selaras maklumat terkini

SHAH ALAM, 11 NOV: Sejumlah RM1.4 juta diperuntuk bagi memperluas pusat operasi bencana di setiap daerah pada tahun depan sekali gus memastikan maklumat insiden bencana disalur dengan lebih berkesan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat berkenaan telah ditubuhkan di tiga daerah tahun ini melibatkan Petaling, Klang, dan Hulu Langat.

“Tahun depan akan difokuskan kepada daerah lain oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) serta Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

“Terdapat keperluan signifikan untuk setiap daerah mempunyai satu pusat operasi yang canggih, selaras status Selangor sebagai sebuah negeri pintar.

“Pusat ini akan mempunyai infrastruktur yang mampu menyalurkan maklumat-maklumat penting kepada Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) dalam setiap kejadian bencana,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Amirudin berkata sejumlah RM400,000 diperuntukkan tahun depan bagi meneruskan projek komuniti yang memberi pendedahan kepada peserta untuk memahami risiko bencana setempat.

“Kerajaan Negeri mengadakan projek Strengthening the Disaster Risk Reduction Capacity to Improve the Safety and Security of Communities by Understanding Disaster Risks (SeDAR) melalui kerjasama pintar dengan University of Tohoku, Universiti Teknologi Malaysia disokong oleh Japan International Cooperation Agency (JICA).

“Melalui projek ini komuniti akan diberi pendedahan memahami risiko bencana setempat berdasarkan fakta sains dan analisis empirikal, pengetahuan kepada komuniti tentang kesiapsiagaan terhadap risiko bencana,” katanya.


Pengarang :