Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia pesakit diabetis tertinggi di Asia Tenggara, pelan advokasi gula dilancar

SHAH ALAM, 23 NOV: Malaysia merekodkan jumlah pesakit kencing manis tertinggi di Asia Tenggara, dengan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah itu memberi kesan berikutan perbelanjaan merawat kencing manis melibatkan hampir 50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Jumlah perbelanjaan langsung penjagaan kesihatan untuk menangani NCD adalah RM9.65 bilion iaitu merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia.

“Manakala jumlah perbelanjaan bagi penyakit kencing manis adalah RM4.38 bilion, iaitu 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (HARAPAN-Bandar Kuching) berhubung jumlah perbelanjaan bagi menangani NCD terutamanya kencing manis di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, Dr Zaliha menambah Kementerian Kesihatan akan melancarkan pelan advokasi gula dalam usaha meningkatkan kesedaran awam susulan peningkatan penyakit kencing manis di negara ini.

Jelasnya, inisiatif itu menyasarkan semua peringkat usia dan membabitkan pelbagai pihak, selain mengadakan sesi libat urus bersama persatuan penjaja bagi menggalakkan amalan pemakanan sihat.

“Ini (inisiatif) yang sangat bagus kerana ada kedai kita lihat buka sampai malam, jadi bila dilaksanakan nanti, Insya-Allah ia boleh bantu dari segi advokasi bagi mengurangkan penggunaan gula dalam komuniti negara ini,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 bulan lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula daripada 40 sen kepada 50 sen seliter.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasil duti eksais ini akan disalurkan semula khusus untuk menangani dan merawat penyakit kencing manis termasuk sokongan kepada pusat dialisis.


Pengarang :