Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan buku pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNAGENDASELANGOR

RM1 juta tubuh pusat AI negeri, mantapkan sistem perkhidmatan

SHAH ALAM, 10 NOV: Sebanyak RM1 juta disediakan bagi menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan (AI) Selangor dalam usaha memantapkan lagi sistem perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor tidak mahu ketinggalan dan ingin merebut peluang dalam teknologi baharu yang sedang berkembang di seluruh dunia.

“Bagi memastikan Selangor dapat merebut peluang luas dalam industri ini yang juga mempunyai kesan limpahan dalam memantapkan sistem perkhidmatan kerajaan, pentadbiran ini akan menubuhkan AI Selangor dengan peruntukan RM1 juta.

“Usaha ini meliputi penjalinan kerjasama dengan syarikat berteknologi yang mempunyai kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi menarik pelaburan dan menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selain industri AI, Amirudin menambah, Kerajaan Negeri berhasrat memantapkan pembangunan dron menerusi pembinaan industri peranti keras (hardware) dengan peruntukan RM2 juta.

Menurutnya, perancangan itu bagi membolehkan Selangor menjadi pemain utama dalam industri dron dan usaha itu akan direalisasi menerusi kerjasama dengan syarikat aeroangkasa Turki.

“Kini, bidang ‘hardware’ harus diteroka supaya Selangor tidak menjadi sekadar pemain kecil (bit-part-player) tetapi pemain utama (main player) dalam industri pembinaan dron melalui kerjasama syarikat antarabangsa Turkish Aerospace (TUSAS) dengan anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (SELATI), dan untuk maksud ini, RM2 juta akan diperuntukkan,” katanya.

SELATI diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor sejak Mac 2022. Ia merangkumi ujian dron, latihan, pembangunan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta permainan dron.


Pengarang :