Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (hadapan, tengah) bersama pemimpin negeri dan pegawai kanan kerajaan menunjukkan buku pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Belanjawan Selangor 2024 peruntuk RM2.53 bilion, tumpu empat teras

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Beliau turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September 2023.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah premium tanah sebanyak RM 890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Penyumbang kedua terbesar hasil cukai tanah sebanyak RM622.65 juta (28.3 peratus) dan ketiga pemberian persekutuan berjumlah RM212.96 juta, 9.7 peratus daripada pendapatan 2024,” katanya.

Amirudin berkata belanjawan kali ini turut mengalami defisit berjumlah RM330 juta, namun lebih rendah berbanding tahun lalu dengan pengurangan sebanyak RM120 juta.

Meskipun perbelanjaan defisit sejak enam belanjawan lalu, jelasnya, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk mengurangkan angka tersebut kepada satu jumlah yang munasabah.

“(Ia) menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan,” katanya lagi.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar perbelanjaan mengurus antaranya kenaikan gaji penjawat awam kontrak, elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain serta petugas masjid.

Bertemakan Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, belanjawan tahun depan digerakkan melalui empat teras utama iaitu:

1. Pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi

2. Mengangkat pendidikan bestari, menjamin alam sekitar lestari

3. Menaungi kebajikan rakyat

4. Mengangkat kesatuan ummah


Pengarang :