Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM300 juta sambung paip Pulau Indah, operasi pada kapasiti optimum

SHAH ALAM, 11 NOV: Jajaran paip dari Klang akan disambungkan ke Pulau Indah supaya kawasan perindustrian berkenaan dapat beroperasi pada kapasiti optimum, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek menelan kos kira-kira RM300 juta itu akan dilaksanakan Air Selangor secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Antara elemen penting yang menjadi keperluan pelabur selain daripada kesediaan jalan raya yang selesa serta kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi adalah saluran perkhidmatan air bersih dan tenaga elektrik,” katanya semalam.

Pulau Indah termasuk Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG) dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025.

Ia mempercepat pertumbuhan ekonomi negeri dengan memanfaatkan laluan air yang juga lokasi dua pelabuhan utama – Westports di Pulau Indah dan Northport.

Dua zon pembangunan utama dikenal pasti dalam ZPE SMG. Zon pertama meliputi kawasan kira-kira 22,780 hektar yang diiktiraf dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035.

Zon kedua merangkumi tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan keluasan lebih kurang 5,180 hektar. Anggaran jumlah pelaburan RM2.2 bilion.


Pengarang :