Masjid al-Nuriah diapit Kuil Sri Shakthi dan Gereja Methodist Tamil di Bukit Rotan, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Rumah ibadat empat agama bersebelahan simbol keharmonian

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Kala beberapa kawasan tertentu berdepan konflik kerana perbezaan seperti Palestin dan Ukraine, lain pula kisah penduduk Bukit Rotan, Kuala Selangor yang hidup harmoni tanpa sengketa walau berlainan kaum dan agama.

Rumah ibadat – masjid, gereja, kuil dan tokong dibina berdekatan, tanda toleransi agama tinggi dalam kalangan anggota masyarakat kawasan itu.

Dipisahkan pagar, jarak Masjid al-Nuriah dan Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam hanya 50 meter. Di tengahnya ada pejabat pos berusia 100 tahun yang masih beroperasi.

Di sebelah kanan masjid terletak Gereja Methodist Tamil dibina pada 1922, seusia dengan rumah ibadat Islam itu yang didirikan ahli kariah Bukit Rotan. Kedudukan dua rumah ibadat itu pula hanya dipisahkan jalan kecil.

Sementara di depan masjid, ada tokong Cina persendirian. Keempat-empat rumah ibadat itu dibina atas kawasan seluas 200 meter di tepi jalan utama antara Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Kuil Hindu itu yang dibina kira-kira 110 tahun lalu, telah dinaik taraf dan diperbesarkan pada awal 2000 atas tanah seluas satu ekar sebelum dibenar beroperasi semula pada 2013.

Di Bukit Rotan, keakraban orang Melayu dan India terakam dalam satu kisah kehilangan seekor lembu untuk ibadah korban di Masjid al-Nuriah. Peristiwa menjelang Hari Raya Aidiladha tujuh tahun lalu itu ada dilaporkan portal berita.

Haiwan itu terlepas daripada tambatan dan memasuki ke kawasan kuil.

Walau agama Hindu menganggap ia haiwan suci, namun lembu itu ditemui seorang sami yang kemudian menyerah dan mengikatnya sendiri di masjid.

Sambil ketawa kecil, Pengerusi Kuil Sri Shakti Shivasri AP Muthukumara Shivachariyaar mengesahkan insiden itu seperti yang pernah dilaporkan media.

“Itu (kisah) dulu-dulu. Betul, betul. Lembu itu diikat di sana (di masjid), sudah hilang terlepas. Pada masa itu, presiden kuil (adalah) Subramaniam.

“Ketika itu ada budak-budak cakap, lembu ada sana (tunjuk dalam kawasan kuil). Dia (Subramaniam) suruh (mereka) tangkap (dan) serah kepada dia. Betul… dia serah pada mereka (masjid),” kata Shivasri kepada Selangorkini pada 30 Oktober sempena perayaan Deepavali.

Sebelum ini, media melaporkan nazir masjid Kassim Alias berkata seorang sami Hindu membantu ahli kariah masjid mencari seekor lembu yang terlepas menjelang sambutan Aidiladha.

“Sami itu tarik semula dan ikat di masjid. Betapa hormatnya beliau supaya kami dapat menjalankan ibadah korban,” katanya seperti dilapor FMT pada 22 April.

Kuil Sri Shakthi, Bukit Rotan Kuala Selangor, Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sikap muafakat

Pihak masjid, gereja, kuil dan tokong di Bukit Rotan menterjemah keharmonian dengan sikap muafakat, hormat-menghormati dan bertolak ansur.

Walau berbeza kepercayaan, paderi gereja Jared Thamilcelvan berkata mereka tidak terikut-ikut dengan sentimen perkauman dan keagamaan yang dimainkan segelintir pihak.

Jared mengakui pihak masjid dan kuil mudah diajak berbincang dan sering menghulurkan bantuan antaranya barangan keperluan, makanan dan sumber kewangan, kepada orang ramai tanpa mengira pegangan agama.

“Kami tetap kekalkan keharmonian yang diwarisi golongan dahulu dan saling bantu membantu jika ada masalah,” katanya kepada Selangorkini pada 20 Disember 2022.

Sementara itu, Shivasri, 76, berkongsi rahsia keharmonian masyarakat di situ ialah saling memahami dan tidak menunjukkan rasa tidak suka atau marah antara satu dengan yang lain.

“Semua bangsa di sini, semuanya membesar bersama-sama. Sejak daripada kecil mereka berkawan baik. Jiran saya ada orang Cina, ada muslim. Kampung ayah saya dekat sini.

“Jiran sebelah rumah ada Cina dan India. Mereka ini hidup bersama-sama. Jadi sejak kecil lagi, kami saling memahami satu sama lain,” katanya.

Selain itu, pihak kuil juga tidak kekok memenuhi undangan majlis atau keraian daripada pihak masjid, gereja atau tokong Cina.

Shivasri berkata pihaknya juga tidak pernah menerima rungutan mengenai upacara keagamaan yang dijalankan. Malah, pada masa sama mereka menghormati amalan agama Islam, Kristian dan Buddha.


Pengarang :