EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tengah) bergambar bersama pengunjung selepas majlis perasmian sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat Selangor di Zoo Negara, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sambutan bulan keluarga peringkat negeri meriah, imbau memori silam pengunjung

AMPANG JAYA, 26 NOV: Ratusan pengunjung memeriahkan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan peringkat Selangor anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) hari ini.

Dirasmikan EXCO kebajikan masyarakat, acara tahunan memilih Zoo Negara di sini sebagai lokasi penganjuran bagi mengembalikan memori silam zaman kanak-kanak dan remaja pengunjung melalui pelbagai aktiviti berkonsep santai.

“Saya percaya pelbagai memori silam tercipta di sini. Tahniah LPPKN kerana sangat memahami isi hati keluarga dan memberi peluang pengunjung menggamit kenangan serta diperturunkan kepada anak-anak.

“Sudah sampai masanya kita mengangkat semangat bulan keluarga kebangsaan sebagai sambutan penting dalam menyokong usaha kemenjadian gagasan Kerajaan Madani,” kata Anfaal Saari berucap merasmikan program itu.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menyampaikan Anugerah Khas KASIH Keluarga kepada penerima ketika majlis perasmian sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat Selangor di Zoo Negara, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, wakil LPPKN Zuraina Mohd Zain memberitahu konsep piknik keluarga diketengah pada sambutan kali ini bagi mewujudkan suasana riadah dalam keluarga.

“Konsep piknik keluarga diterima baik secara meluas oleh agensi lain dalam pelaksanaan program kekeluargaan mereka dan ini satu pengiktirafan kepada LPPKN,” katanya.

Pengisian program meliputi pemeriksaan kesihatan, kempen kesedaran barah reproduktif wanita, saringan barah serviks, saringan dan urutan kesejahteraan.

Selain itu, pameran pendidikan keibubapaan, kaunseling keluarga dan agensi, Fun Robik KASIH, ‘Pocket Talk’ Keluarga Harmoni, pertandingan mewarna kanak-kanak serta cabutan bertuah.

Majlis turut meraikan empat Komuniti FACE yang membantu menaikkan skor indeks kesejahteraan keluarga dan komuniti di Selangor melalui pelaksanaan program kekeluargaan.

Komuniti terbabit ialah Rumah Pangsa Seksyen 16, Kem Rimba Jaya, Kampung Setia Jaya dan Kampung Pandan Dalam.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari membuat lawatan ke reruai pameran selepas majlis perasmian sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat Selangor di Zoo Negara, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :