Kemudahan khemah yang disediakan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Satu PPS ditutup, hanya 75 mangsa banjir di Perak

IPOH, 20 NOV: Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A di daerah Kinta yang menempatkan lapan mangsa banjir sebelum ini ditutup sepenuhnya pada 9.30 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan hanya dua PPS di daerah Kerian yang menempatkan 75 orang daripada 22 keluarga masih dibuka setakat pagi ini.

“PPS SK Changkat Lobak yang menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga serta PPS SK Alor Pongsu dengan 57 orang daripada 19 keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan beberapa daerah iaitu Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Muallim, Batang Padang serta Kinta dijangka berlaku hujan pada sebelah petang dan malam.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan bahawa di Kerian, laluan FT 147 Jalan Selama ditutup kepada semua kenderaan selepas kawasan itu dinaiki air dan orang ramai diarah menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Batang Padang, laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan dibuka satu lorong hanya kepada kenderaan ringan kerana pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera berikutan keadaan bahu jalan yang runtuh.

“Laluan di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim hanya dibuka satu lorong kepada semua kenderaan kerana Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dibuat di lokasi akibat tanah runtuh.

“Di Hilir Perak, laluan di A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara dan pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif di laluan FT058,” menurut JKR.

– BERNAMA

 


Pengarang :