Pemain Gombak FA (kiri) menghalang kemaraan pemain Ingress KL FC dalam perlawanan kelima Liga Juara Selangor di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 28 Oktober. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL 2023: Gombak FA, Sijangkang City kekal pendahulu kumpulan

SHAH ALAM, 20 NOV: Gombak FA dan Sijangkang City FC mengekalkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan selepas menang mudah dalam perlawanan ketujuh Liga Juara Selangor (SCL 2023) di Arena MBSJ Subang Jaya hujung minggu lalu.

Dalam aksi kumpulan A, Gombak FA bangkit di babak kedua untuk menewaskan Ampang Ukay Positive FC 2-0, hasil jaringan Faez Hafize pada minit ke-54 diikuti jaringan Ammar Shafiq selang sembilan minit kemudian.

Pasukan kedua, Kampong Bharu Boss FC turut mencatat keputusan sama, menewaskan KKB Brotherhood FC menerusi dua gol lewat permainan daripada Che Muhammad Amin dan Ridhwan Johan.

Turut mengutip tiga mata penuh Kru Port Klang yang membelasah pasukan tercorot Ingress KL FC 3-0 hasil dua gol Suhaimi Rahman dan satu daripada Fazrul Fahriz.

Satu lagi perlawanan antara Tebuan FC Kg Pinang dan Klang Frenz United berkesudahan seri 1-1.

Sementara itu, gol tunggal Faiz Zikry pada minit ke-41 membantu Sijangkang City FC menewaskan AAK Puncak Alam sekali gus mengekalkan jurang tiga mata di puncak kumpulan B.

Pasukan kedua NPNG Damansara Perdana turut meraih mata penuh selepas menewaskan MBSA FC 1-0 hasil jaringan Farhan Ab Hamid seawal minit pertama permainan.

PJ Kelana United di kedudukan ketiga berjaya membelasah Kajang Northern Merbau 4-1 manakala Najmi SFFC Kota Damansara menang tipis 2-1 ke atas SFC Youth.

 


Pengarang :