Pengunjung melihat model rumah contoh ketika program Home Buyer di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pemaju berdepan senarai hitam, denda jika tidak sedia kuota Bumiputera

SHAH ALAM, 20 NOV: Pemaju berdepan tindakan disenarai hitam dan denda jika tidak mematuhi syarat menyedia kuota Bumiputera, kata EXCO perumahan.

Borhan Aman Shah berkata peraturan bawah pelan tindakan (blueprint) Perumahan Negeri Selangor itu perlu bagi memastikan peratusan kuota Bumiputera dipatuhi.

“Sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit bukan Bumiputera maka proses ‘blanket consent’ atau ‘blanket approval’ tidak dapat diteruskan.

“Pemaju akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dikenakan denda yang lebih berat,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng berhubung penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Borhan menjelaskan Kerajaan Negeri masih mengekalkan mekanisma sedia ada berpandu pelan tindakan (blueprint) Perumahan Negeri Selangor bagi menentukan peratusan pemilikan kuota Bumiputera.

Menurutnya peraturan itu dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberi milikan tanah yang akan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota Bumiputera tersebut dipatuhi semasa proses penjualan hartanah.

“Pejabat Tanah Dan Galian Selangor akan membuat pemantauan semasa peringkat permohonan kelulusan ‘blanket consent’ atau ‘blanket approval’ oleh pihak pemaju,” katanya.


Pengarang :