EXCO Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor perkenal syarat baharu pembinaan kolam takungan air mulai tahun depan

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri bakal memperkenal syarat baharu kepada pemaju bagi melaksana pembinaan kolam takungan air (OSD) di setiap premis bermula tahun depan.

EXCO Kemajuan Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata inisiatif baharu itu bagi memastikan setiap bangunan berstrata memiliki OSD sendiri sekali gus mampu mengawal banjir.

“Konsep baru yang kita mahu perkenalkan ini supaya kita dapat uruskan isu air dari tempat asal. Contohnya bangunan 20 tingkat, air yang turun banyak, jadi kita kumpul dulu.

“Isu yang kita hadapi adalah air banyak yang keluar secara serentak sehingga jadi banjir. Cara paling baik adalah kita tahan air, dan lepaskan bila sungai atau parit sudah surut,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh berhubung masalah banjir dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Menurut Izham, syarat baharu tersebut akan dimasukkan dalam peraturan di Bahagian Pusat Setempat (OSC) di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Selain itu, wakil rakyat Pandan Indah itu menambah, Selangor bakal menjadi negeri pertama membina empangan (barrage) di Sungai Kapar Kecil bagi mengawal banjir.

Jelasnya, pembinaan empangan dengan kos RM220 juta oleh kerajaan Persekutuan itu bakal dimulakan tahun depan dan dijangka mengambil masa dua hingga tahun untuk disiapkan.

“Barrage ini memiliki pintu air yang bersambung. Ia dibuat kerana kawasan muka air terlalu lebar, jadi kita buat banyak pintu air. Peruntukan telah pun lulus dan kita akan bina di Kapar terlebih dahulu,” katanya.

 


Pengarang :